
Pekan petani, penoreh getah dan kakitangan awam ini sebahagian besarnya orang Melayu dengan kelompok kecil masyarakat Siam.
Di sinilah Fadzil Noor, presiden PAS sehingga kematiannya pada 2002, mematahkan pecutan kemenangan BN pada 1999, menyaksikan parti Islamis itu menawan satu pertiga kerusi DUN di Kedah.

Ahli Parlimen Pendang kini, Othman Abdul, pertama kali bertanding pada 1986, turut memenangi kerusi tersebut dalam 2 PRU selepas itu.
Akan tetapi, pada PRU 1999, Othman, yang ketika itu merupakan setiausaha parlimen kepada perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tewas di tangan Fadzil dengan 2,939 undi.
Othman memenangi kerusi Pendang sekali lagi dalam pilihan raya kecil yang diadakan berikutan kematian Fadzil dengan majoriti tipis 283 undi.
Pada 2004, apabila kerajaan PAS tumbang di Kedah, parti Islamis itu berjaya memenangi kerusi Pendang dengan majoriti kecil 50 undi. Pada 2008, kemenangan PAS lebih selesa, iaitu dengan majoriti 4,073 undi.
Pada 2013, PAS meletakkan “orang kuat” ketika itu, Mohammad Sabu, di Pendang, tetapi Othman menang dalam pertandingan itu dengan 2,683 undi.
Tampaknya Othman akan terus muncul di sini seperti dalam beberapa pilihan raya lepas. Bagaimanapun, kali ini PPBM merancang menamatkan terus kehadirannya itu.

Ketua PPBM Pendang, Abdul Razak Khamis berkata, Othman popular pada 1990-an, tetapi keadaan berubah kini kerana ramai pengundi pertama kali yang tidak mengenali pemimpin Umno itu.
“Bagi mereka berusia 40 tahun ke bawah, Othman tidak menarik. Beliau tidak berpengaruh ke atas kumpulan pengundi ini,” katanya.
“Mereka tidak melihat apa-apa keistimewaaan pada Othman. Lagi pun beliau tidak tergolong dalam kelompok elit Umno. Othman kalah dalam pemilihan parti itu,” katanya.
Razak berkata, kenaikan kos hidup dan pengangguran kebimbangan utama penduduk Pendang.
Katanya, ramai belia menganggur kembali ke sini selepas meninggalkan kerja kilang atau pejabat tetapi mendapati pertanian dan tanaman getah tidak mampu memberi pendapatan yang baik.
“Dengan harga getah RM2 sekilo, paling banyak penoreh boleh dapat dalam RM40 ke RM50 sehari. Bagaimana mereka dapat menampung kehidupan keluarga dengan RM50?
“Jadi apa yang boleh mereka buat setelah balik ke kampung? Berniaga? Ia tidak menguntungkan. Banyak kedai ditutup. Sama juga pasar raya,” katanya.
Razak berkata, pengangguran menyumbang kepada masalah sosial seperti salah guna dadah, dan “remaja yang hanya melepak” di sana-sini.
“Keadaan seperti inilah yang sangat menekan rakyat menyebabkan mereka tidak boleh bertahan lagi,” katanya.
Razak yakin PPBM boleh merampas Pendang berikutan hubungan rapat antara PAS dan Umno sekarang.
Beliau berkata, 40% ahli Umno tempatan sudah berhijrah ke PPBM.
“Saya yakin PPBM akan menang besar di Pendang. BN boleh meletakkan siapa juga calon yang mereka mahu, dan guna apa juga strategi. Tetapi saya percaya pengundi akan beri kami peluang bentuk kerajaan.”
Beliau berkata, masyarakat Siam seramai kira-kira 4,000 orang di Pendang, yang biasanya menyokong BN, juga sudah berubah sokongan.
Satu sebab, kata Razak, ialah kerana masyarakat Siam tidak berpuas hati tidak diberikan status Bumiputera seperti dijanjikan.
“Najib pernah berkata orang Siam dianggap Bumiputera, tetapi mereka tidak diberikan hak Bumiputera,” kata Razak.