Negeri kecil dan tenang bakal berubah menjelang PRU

Negeri kecil dan tenang bakal berubah menjelang PRU

Perlis dengan hanya 3 kerusi Parlimen tidak bermakna ia tidak menjadi medan sengit mencabar kekuatan Umno.

kuala-perlis
Pemandangan di Kuala Perlis, Perlis. Negeri terkecil di Malaysia ini bakal menyaksikan persaingan sengit antara Umno dan PPBM. (Gambar perlis.gov.my)
PETALING JAYA:
Perlis, negeri terkecil di Malaysia, biasanya tenang. Tetapi keadaan ini mungkin tidak akan kekal lama.

menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Umno berdepan cabaran baru menerusi PPBM, dan kedua-dua parti bekerja keras mengatasi satu sama lain bagi mendapatkan sokongan.

Negeri yang terkenal dengan keindahan sawah padi dan bukit batu kapurnya itu merupakan kubu kuat Umno sejak sekian lama.

Apa yang menjadi rebutan tidaklah sebesar mana. Dengan penduduk sekadar 250,000 orang, Perlis mempunyai 3 kerusi Parlimen, iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar, serta 15 kerusi negeri.

Daripada semua kerusi itu, hanya 2 kerusi negeri dimenangi parti pembangkang pada PRU 2013. Calon PKR memenangi kerusi DUN Indera Kayangan dengan kelebihan 1,091 undi, sementara PAS menguasai kerusi negeri Sanglang dengan majoriti tipis 121 undi.

Datuk Seri Shahidan Kassim.
Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pengerusi BN Perlis yang juga Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, yakin BN boleh memenangi semua kerusi yang bakal dipertandingkan, termasuk 2 kerusi negeri yang kini dipegang pembangkang.

“Kami bersedia untuk menghadapi PRU14, dan kedudukan kami sangat baik di sini,” katanya kepada FMT.

Bekas menteri besar Perlis itu pernah berkata, calon BN perlu memenuhi keperluan rakyat.

Beliau berkata, politik di Perlis berbeza daripada politik tempat lain, terutamanya negeri lebih besar dan maju kerana penduduknya mahukan pemimpin mudah didekati dan prihatin terhadap masalah mereka.

Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis, Ameir Hassan berkata, BN perlu bimbang dengan kehadiran gabungan pembangkang di negeri itu.

“BN tidak lagi boleh menguasai Perlis. PH bakal memenangi 75% negeri ini berikutan perubahan undi yang dijangka berlaku.

“Ini kerana kepercayaan terhadap Umno kini menurun. Generasi muda mahukan pembangunan.”

Ameir berkata, pengundi di Perlis “kini tersedar daripada lena dan mula menyoal (kekurangan) pembangunan dan pada masa sama mereka turut merasai kenaikan kos sara hidup”.

Beliau berkata, PH akan membantu meningkatkan taraf hidup pesawah dan nelayan di negeri itu.

“Lebih kurang 30% penduduk tinggal di kawasan luar bandar, sementara selebihnya adalah peniaga dan pegawai kerajaan.”

Penduduk asal Perlis itu sejak 7 generasi lalu, Ameir berkata, jika PH memenangi pilihan raya akan datang, ia akan membantu membangunkan perladangan mangga harum manis yang terkenal di negeri itu.

“Ia boleh menjadi sumber pembangunan. Thailand cuba menanam spesis harum manis seperti kita, tetapi setakat ini mereka gagal.”

Katanya, gabungan pembangkang itu akan membenarkan lebih banyak syarikat asing melabur di Perlis dan memberi tumpuan kepada industri pelancongan.

Perlis mempunyai 137,000 pengundi berdaftar, majoritinya orang Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.