
Rais menjadi calon Jelebu sejak 1974, dan mengetuai Umno Jelebu sejak 1977. Tetapi di antara 1990 dan 2000, beliau bersama Tengku Razaleigh Hamzah, yang menubuhkan Semangat 46 bagi melawan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Rais bertanding di bawah Semangat 46 pada pilihan raya umum 1990 dan 1995, tetapi tewas. Hanya pada 1999, beliau kembali menjadi wakil rakyat Jelebu, dan mengetuai Umno Jelebu sekali lagi.
Pada 2013, beliau memilih tidak bertanding untuk jawatan ketua Umno Jelebu, walaupun menang selesa mengalahkan calon PAS pada PRU 2008.
Pada 2013, calon BN Datuk Zainuddin Ismail mengalahkan calon PAS. Zainuddin bagaimanapun meninggal dunia akhir tahun lalu, dan kerusi Jelebu kekal kosong sehingga PRU akan datang memandangkan tempoh mandat Dewan Rakyat selepas PRU lalu sudah melebihi 3 tahun.
Kini timbul tanda, siapa yang akan menjadi calon Jelebu.
Nama Rais juga disebut-sebut, tetapi ia tidak disahkan Ketua Umno Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.
“Saya di Jelebu membawa agenda parti, bukan membawa agenda individu,” katanya kepada FMT.
Jalaluddin yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri Sembilan berkata ia terpulang kepada Datuk Seri Najib Razak.
Rais, 76, pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan dari 1978 sehingga 1982 dan turut menjawat pelbagai jawatan penting, antaranya menteri penerangan, menteri komunikasi dan kebudayaan, dan menteri luar negeri.
Beliau kini menjadi penasihat kebudayaan kepada kerajaan, jawatan dengan status kabinet.
Jalaluddin yakin walaupun majoriti BN berkurangan, ia dapat mempertahankan kerusi itu pada PRU akan datang walaupun berdepan pertandingan 3 penjuru.
Ini memandangkan PAS sudah bertekad meletakkan calonnya untuk melawan BN dan Pakatan Harapan (PH), gabungan 4 parti dianggotai PKR, DAP, Amanah dan PPBM.
Bagi Amanah, sekiranya Rais dibawa masuk sekali lagi ke Jelebu, peluang pembangkang menjadi sukar.
“Kalau dia yang bertanding memang agak sukar (rampas Jelebu) tapi tidak mustahil,” kata Ketua Amanah Jelebu, Bakri Sawir.
Tetapi menurutnya, Rais yang terkenal sebagai “orang kuat Jelebu” pernah tewas di kawasan itu ketika menjadi calon Semangat 46, kerana pengundi lebih suka memilih parti daripada individu.
“Berdasarkan itu, belum tentu dia boleh menang,” katanya.
Calon Amanah akan mewakili PH di Jelebu pada PRU akan datang.
Bakri yakin walaupun undian Melayu akan berpecah dengan pertandingan 3 penjuru, faktor PPBM dan pengerusinya Dr Mahathir boleh memberi kelebihan kepada Amanah.
“Dr Mahathir sangat berpengaruh. Walaupun 3 penjuru, ahli-ahli Umno yang dahulu bersama Dr Mahathir. Kita harapkan ada ‘swing’ di situ,” katanya.
Di Jelebu, kesemua parti PH akan bertanding di kerusi negeri. Selain Amanah di Klawang, calon DAP akan bertanding di Chennah, PPBM di Pertang dan PKR di Sungai Lui.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/05/21/mengapa-pakatan-rakyat-kalah-di-negeri-sembilan/