
Pulau Pinang juga tuan rumah kepada salah satu persatuan pengguna paling lantang bersuara, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), dan golongan berpendidikan di sini melahirkan aktivisme sosial yang menjuarai isu yang biasanya dielak parti politik.
Selama berabad-abad, pulau saiznya hanya 1/10 daripada jirannya, Kedah dianggap sebagai permata.
Tidak hairanlah selama hampir sedekad, Barisan Nasional (BN) dan pelbagai organisasi yang bersekutu dengan gabungan itu terus cuba merampasnya kembali daripada DAP, yang menyapu bersih negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) 2008.
Tetapi penganalisis yakin DAP akan kekal berkuasa di sini, walaupun di sebalik kontroversi berkaitan projek terowong dasar laut dan kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang belum selesai di mahkamah.
Kebanyakan rakyat Pulau Pinang berpendapat, sejak dominasi BN berakhir pada 2008, mereka sudah selesa dengan pakatan pembangkang, yang kini diubah nama kepada Pakatan Harapan (PH), sebagai “pilihan yang kurang jahat”.

Pengundi Pulau Pinang di peringkat akar umbi menikmati faedah daripada pentadbiran PH negeri yang diketuai DAP, selepas PRU 2008 dan 2013,” kata Prof Shamsul Amri Baharuddin yang mengetuai Institut Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Shamsul berkata kekuatan kerajaan Pulau Pinang sekarang adalah di peringkat kerajaan tempatan, dan ia kuat walaupun dibandingkan dengan kepimpinan BN yang terkenal dengan kawalan kuasanya ke atas institusi tempatan seperti jawatankuasa kampung dan majlis tempatan.
“Pentadbiran kerajaan tempatan menjadi lebih teratur dan pro-aktif berbanding semasa pemerintahan BN,” katanya kepada FMT.
PH memegang 10 daripada 13 kerusi Parlimen, manakala BN hanya memegang 3 kerusi Parlimen, semuanya di tanah besar di Seberang Perai.
Di peringkat DUN, PH memegang 29 daripada 40 kerusi, di mana DAP memegang 19 dan PKR 10. BN memegang 10 kerusi manakala PAS hanya mempunyai 1 kerusi.
Pada 2013, terdapat lebih 850,000 pengundi berdaftar di Pulau Pinang.
Shamsul berkata walaupun berlaku pertikaian mengenai projek terowong dasar laut dan kerosakan alam sekitar yang dipersalahkan terhadap dasar pembangunan negeri, ia tidak memberi kesan kepada pengundi.
Rakyat Pulau Pinang, katanya, lebih peduli dengan masalah “mikro” seperti akses ke sekolah, kesesakan lalu lintas dan pengumpulan sampah.
Sejak awal, Pulau Pinang menjadi tanah yang diminati kumpulan berkepentingan, kebanyakannya atas dasar etnik, yang berusaha melindungi kepentingan mereka.
Persatuan Cina yang wujud beratus-ratus tahun lalu adalah antara pihak yang masih memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pengundi.
Shamsul berkata persatuan ini yang terbentuk atas nama dialek tempatan dan juga nama keluarga “mempunyai banyak kuasa” dan boleh mempengaruhi pengundi akar umbi dengan mudah.
“Kita perlu perhatikan mereka, seperti dalam perebutan Love Lane, yang memberi kesan kepada perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya merujuk isu mengenai sebuah rumah kedai yang pernah dimiliki masyarakat Ghee Hin.
Persatuan Ghee Hin tidak lagi wujud hari ini dan pemegang amanah hartanah, seperti yang ditetapkan Mahkamah Agung Pulau Pinang pada 1909, telah meninggal dunia beberapa dekad lalu.
Kerajaan Pulau Pinang merampas hartanah itu selepas ia gagal dalam penilaian. Secara sah, ia ditinggalkan tanpa waris kerana para pemegang amanah telah meninggal dunia.

Penganalisis bebas, Khoo Kay Peng turut bersetuju DAP akan terus kekal di Pulau Pinang, dan tidak akan ada kejutan pada PRU akan datang.
“Ada yang mempertikaikan tentang pembangunan di pulau itu, beberapa orang merungut dengan pemimpin negeri. Tetapi akhirnya, apa alternatifnya?
“Kedua-dua BN dan PH mempunyai masalah mereka sendiri. Untuk pilihan yang lebih baik, mereka akan memilih ‘parti yang kurang jahat,” katanya.
Khoo berkata kes peribadi Guan Eng melibatkan undang-undang juga tidak menjadi masalah.
Ketua menteri Pulau Pinang itu didakwa menerima rasuah untuk diri dan isterinya, dengan meluluskan penukaran status tanah pertanian milik sebuah syarikat untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan pada 2016.
Beliau juga didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk membeli sebuah banglo di Pinhorn Road daripada ahli perniagaan pada harga RM2.8 juta iaitu di bawah nilai pasaran sebanyak RM4.27 juta.
“Sama ada dia masuk penjara atau tidak, saya rasa pemimpin pembangkang sudah cukup dipenjarakan,” kata Khoo.
“Saya tidak rasa kita mempunyai emosi politik yang sama seperti pada tahun 1970-an, 1980-an atau 1990-an. Ini abad ke-21. Kayu ukur sokongan pengundi adalah berbeza, mereka lebih pragmatik. Dalam kebanyakan keadaan, majoriti pengundi sudah mempunyai keputusan mereka sendiri, “katanya.
Namun, Khoo tidak menolak kemungkinan BN mempunyai peluang.
Calon Umno, katanya, boleh menang di mana terdapatnya pertandingan pelbagai penjuru.
Tetapi dengan Gerakan, parti komponen BN yang pernah memerintah Pulau Pinang, Khoo menganggap ia sudah terkubur.
“Sehingga kini, kita tidak melihat senarai calon dari Gerakan, atau mana-mana tokoh yang bertanding. Saya tidak rasa mereka sudah bersedia untuk merampas kerusi daripada PH.”