
KLANG: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyifatkan tawaran PAS Kelantan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa, jika Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir negeri itu selepas PRN Sabtu ini, tidak berpijak di bumi nyata.
Beliau berkata, urusan menaik taraf lapangan terbang di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan bukan sesuatu yang boleh dijanjikan begitu saja oleh parti politik atau kerajaan negeri.
“Kita kena faham soal nak membuka (lapangan terbang), nak bagi hak pendaratan, nak naik taraf jadi lapangan antarabangsa atau serantau, itu semua di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan,” katanya dalam ceramah Jelajah Madani DUN Sementa malam tadi.