
Siri drama ‘ Insatiable’ yang boleh dilayari dalam Netflix berdepan masalah apabila memperolehi tentangan dari penonton ekoran kandungan ‘body shaming’nya.

Ekoran itu satu petisyen dihantar kepada Change.org meminta Netflix menghentikan tayangan siri yang dijangka disiar bermula 1 Ogos ini.
Siri itu menceritakan kisah wanita muda bernama Patty (yang dilakonkan oleh Debby Ryan), selaku seorang remaja gemuk yang sering kali dicaci dan dibuli kerana saiz tubuhnya.
Patty kemudian menjadi gadis yang menarik dan popular setelah berjaya menurunkan berat badan.
Kandungan tersebut dipersoal kerana merendahkan imej individu yang berbadan gempal dan menunjukkan seseorang itu hanya disukai apabila berbadan kurus.
Petisyen itu sudah menerima hampir 160,000 tanda tangan walaupun sasarannya adalah 150,000.
“Sejak sekian lama, wanita menjadi mangsa eksploitasi saiz. Mereka dimomok, jika mahu menjadi popular, dikelilingi rakan dan menarik di mata lelaki maka ia hanya boleh dilakukan jika mereka kurus,” petik petisyen itu.
Tambah petisyen itu lagi, kandungan seumpama ini akan hanya membawa pengaruh buruk kepada perkembangan fizikal dan mental remaja.
“Ini bukan satu mesej yang baik. Ini menimbulkan pandangan, penghargaan dan penilaian terhadap seseorang perempuan hanya bergantung kepada saiz badan mereka.
Mereka akan melatih untuk menjadi objek yang menginginkan perhatian lelaki,” tulisnya.
Keputusan itu diambil selepas Netflix mula menayangkan iklan siri tersebut yang secara ringkas menayangkan jalan ceritanya.