
Kita semua tahu betapa sibuknya industri fesyen dunia apabila mereka kerap memperkenalkan koleksi baharu untuk setiap acara fesyen selain koleksi 4 musim dan koleksi khusus yang lain.
Namun, tahukah anda apa yang dilakukan oleh pengendali industri ini terhadap koleksi produk yang tidak laku itu?
Mereka bakar!
Jenama fesyen terkemuka antarabangsa, Burberry berkata, industri ini satu perniagaan yang sangat boros.
Ia terbukti apabila mereka melakukan pembakaran besar-besaran bagi produk yang tidak laku walaupun nilainya mencecah lebih dari £28 juta (RM149.6 juta) setahun.
Antara produk yang dibakar ialah kira-kira 20,000 trench kot yang menjadi koleksi khas Burberry.
Pada 5 tahun terakhir, Burberry direkod membakar 90 juta produk yang nilainya mencecah jutaan dolar.
Laporan The Times menyatakan Burberry berdepan masalah mengendalikan produk tak laku yang meningkat setiap tahun.
Nilainya naik 50% dalam 2 tahun dan ia hampir 6 kali ganda lebih besar dari 2013.
Mengapa bakar?
Burberry dan jenama mewah yang lain, memilih untuk membakar dan melupuskan produk tak terjual sebagai langkah untuk melindungi kekayaan intelektual dan nilai jenama mereka.
Para pereka dari label mewah tidak mahu produk tersebut dimiliki oleh “orang yang salah” atau dijual dalam pasaran pada harga murah. Perkara ini dianggap biasa dalam pasaran runcit.
Bagaimanapun, mereka perlu berhati-hati supaya langkah pembakaran ini tidak menyebabkan mereka terlibat dalam kontroversi membabitkan pencemaran alam sekitar.
Oleh itu, jenama ini mengakui menggunakan bahan pembakaran khusus yang mengolah tenaga daripada pembakaran ketika melupuskan produk ini.
“Burberry menggunakan proses yang teliti dalam meminimumkan kesan sisa produk. Kami pastikan ia dilupus secara bertanggungjawab dan mencari cara untuk mengurangkan sampah,” kata jurucakap Burberry seperti yang dilaporkan oleh New York Post.
Olah sisa bakar kepada tenaga
Pada tahun lalu, jenama pakaian H&M turut memilih untuk membakar lebihan produk tidak laku. Ia juga menggunakan proses pembakaran yang mengolah bahan bakar kepada tenaga.
Vasteras, sebuah kota kecil di Sweden menjadi pusat pembakaran 15 tan produk sisa H&M di negara itu.
Bahan tenaga itu pula dihantar ke stesen janakasa di bandar tersebut.
Richemont, sebuah syarikat yang memiliki jenama Cartier dan Montblanc mendakwa memusnahkan jam tangan bernilai lebih £400 juta dalam tempoh 2 tahun lalu.
Proses yang sama digunapakai oleh Louis Vuitton yang membakar tas tangan yang tak terjual.
Namun ada jalan lain selain pembakaran.
Salah satu jenama mewah, Temperley memberitahu pihaknya lebih memilih untuk menyumbangkan pakaian tak terjual ke badan amal atau menjualnya di gerai-gerai dengan diskaun besar.