Buang sampah merata, langgar peraturan masih jadi amalan

Buang sampah merata, langgar peraturan masih jadi amalan

Masih ramai yang tidak mementingkan soal kebersihan dan keperluan mengikut peraturan atau undang-undang.

Setiap hari tatkala berjalan dari pejabat ke tempat letak kereta, macam-macam keadaan persekitaran yang menghiasi pandangan. Rata-rata tidak menyelesakan.

Walaupun bertugas di kawasan elit di Damansara Intan, namun kawasan tersebut masih tidak terjaga kebersihannya. Maklumlah, sampah kelihatan di mana-mana. Daripada putung rokok, pembungkus makanan, saki-baki makanan, lampin bayi, semuanya ada sepanjang jalan.

Perangai sesetengah peniaga gerai di sepanjang jalan juga dilihat suka membuang sisa makanan di jalanan dan sampah ke dalam sungai yang sememangnya menjengkelkan.

Namun, ia tidak terhad di satu-satu kawasan sahaja. Walhal, ramai yang gagal menjaga kesedaran sivik di semua tempat. Selagi tiada yang perhatikan mereka, dibuang sahaja sampah sarap merata, dilanggar sahaja undang-undang dan peraturan.

Misalnya di mesin ATM, walaupun tong sampah disediakan berhampiran, anda pasti akan melihat resit bertaburan di atas lantai.

Di tandas awam pula, lampin bayi, tisu malah tuala wanita juga ditinggalkan sekitar mangkuk tandas atau di luar tong sampah.

Selain bahan buangan, kekurangan kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia juga boleh dilihat apabila troli pasar raya dan basikal sewa, Obike dibuang di tepi jalan, lebih buruk ada yang dirosakkan dengan teruk.

Tidak ketinggalan mereka yang menyalahguna ruang parkir apabila meletak kereta sesuka hati tanpa mengikut peraturan garisan yang dikhaskan. Tempat letak kereta OKU pun disapu sekali!

Pergi ke perpustakaan atau kedai buku yang menawarkan sudut membaca, ramai yang masih tiada akal untuk meletakkan semula buku di tempat asal. Sehinggakan ramai kakitangan dan pegawai yang mengeluh perangai buruk pengguna yang tidak menjaga bahan bacaan tersebut.

Mungkin mentaliti manusia tidak berubah walaupun taraf sosial mereka tidaklah seburuk yang disangka.

FMT Ohsem berkongsi beberapa gambar yang dimuat naik oleh pengguna dalam laman sosial menunjukkan perangai sesetengah rakyat Malaysia yang masih di tahap cetek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.