
Apabila kita berbual atau bercakap dengan sesiapa sahaja, kita perlulah saling berkomunikasi secara 2 hala. Terdapat perkara-perkara tertentu yang perlu dijaga untuk memastikan orang yang sedang bercakap atau berbuat dengan kita berasa selesa.
Ini bagi memastikan hubungan kita dengannya akan terus menjadi baik dan berkesan. Seorang pengarang motivasi dari Amerika Syarikat yang terkenal, Grenville Kleiser pernah berkata, “Belajar memetik perkataan yang betul supaya anda boleh menggunakannya secara signifikan, berkesan dan penuh bernilai.
Kita sebagai manusia kena amalkan sekurang-kurang perkara paling asas dalam bercakap dan menyampaikan maklumat, bukan sekadar meleret bercakap tanpa isi mahupun mesej yang sebenar.
Terdapat 4 perkara yang perlu dijaga dalam perbualan iaitu kualiti, kuantiti, relevan dan perlakuan.
Kualiti
Ketika kita berbual dengan sesiapa sahaja, kita perlulah menyampaikan maklumat yang betul kepada orang tersebut. Kita tidak boleh sama sekali bercakap bohong atau menyampaikan perkara yang tidak pasti kepada orang itu. Seandainya kita bercakap bohong, kita sebenarnya tidak menghormati orang tersebut dalam perbualan.
Kuantiti
Apabila kita berbual atau bercakap, pastikan kita bercakap dengan seadanya sahaja. Tidak perlulah kita menyampaikan sesuatu perkara secara berlebihan seperti menunjukkan kehebatan diri sendiri ketika berbual. Sekiranya kita bercakap sesuatu perkara secara berlebihan, pasti orang yang sedang bercakap dengan kita tidak berasa selesa dan tidak mahu bercakap dengan kita lagi.
Relevan
Pastikan kita bercakap perkara yang relevan dengan topik perbualan. Jangan sesekali bercakap perkara yang berada di luar konteks perbualan. Apabila orang bercakap tentang kereta, maka kita pun perlulah bercakap mengenai kereta. Janganlah orang bercakap tentang kereta, kita bercakap mengenai makanan pula. Oleh sebab itulah kita perlu memilih topik yang sesuai dan dapat dibualkan oleh kedua-dua belah pihak.
Perlakuan
Semasa berbual, elakkan daripada bercakap perkara-perkara yang kabur atau mempunyai “double meaning”. Kita perlu meringkaskan percakapan kita untuk memberi peluang kepada orang yang sedang berbual dengan kita bercakap pula. Kita juga perlulah menyusun maklumat atau perkara yang hendak kita sampaikan supaya orang yang sedang berbual dengan kita dapat memahami apa yang hendak kita sampaikan.
Setiap perkara di dunia ini mempunyai peraturan-peraturan tertentu. Dalam kita berbual semasa rakan pun, terdapat peraturan-peraturan tertentu yang perlu kita jaga. Kualiti, kuantiti, relevan dan perlakuan adalah perkara-perkara penting yang perlu kita jaga supaya orang yang bercakap atau berbual dengan kita berasa selesa.
Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com