Pemilik dusun kongsi rezeki belanja durian kepada OKU

Pemilik dusun kongsi rezeki belanja durian kepada OKU

Selain durian, Darus sedekahkan sepohon pokok rambutan untuk mereka petik dan bawa balik.

‘Berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan akan membawa lebih keberkatan’.

Ekoran itu, Darus Ahmad, 82, dari Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, di sini memperuntukkan 40 biji durian dari dusunnya untuk diberi kepada 20 orang kelainan upaya (OKU) Persatuan Membentuk OKU (AKAL) Kedah di Bukit Pinang.

Beliau berkata kumpulan 15 wanita dan 5 lelaki berusia 20 hingga 30-an itu diraikan selepas mendapat kerjasama Cancers Survivors Malaysia yang membawa mereka ke dusun ini, secara tidak langsung memberi pengalaman baharu kepada golongan itu menikmati ‘raja buah’ tersebut.

“Saya dapat panggilan dari persatuan yang diketuai pengasasnya, Zuraini Kamal dan kebetulan saya pun nak buat kenduri, jadi saya khaskan 40 biji durian baharu luruh dari dusun agar mereka dapat makan buah yang masih segar dan elok.

“Selain durian, saya juga sedekahkan sepohon pokok rambutan untuk mereka petik dan bawa balik keranarezeki lebih yang dikurniakan ini untuk dikongsikan dengan orang lain agar terus mendapat keberkatan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang peserta, Mohd Ridzuan Khalid, 29 berkata, peluang yang diberikan ini digunakan sebaik mungkin di dusun dalam suasana nyaman dan tenang.

“Saya OKU kaki sejak kecil lagi, dan hari ini cukup bersejarah sebab berpeluang ke dusun dan makan durian percuma, kalau nak beli memang tak mampu sebab mahal, harapan saya agar ia dibuat selalu untuk golongan macam kami,” katanya.

Sementara itu, Zuraini berkata inisiatif ini diambil bersempena musim durian yang semakin rancak ketika ini.

“Sebelum ini kita sering adakan aktiviti meraikan mereka di dalam dewan tertutup, namun hari ini saya dan pak cik Darus beri mereka pengalaman berharga bersantai di dalam dusun ini dan makan sebanyak mana buah durian di sini.

“…kita merasakan golongan seperti ini harus diraikan supaya mereka sentiasa ceria dan seronok menjalani kehidupan yang serba kekurangan jika dibandingkan insan normal lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.