Insiden gua Tham Luang bakal difilemkan Hollywood

Insiden gua Tham Luang bakal difilemkan Hollywood

Penerbit itu mengupas sebanyak mungkin maklumat mengenai insiden yang menimpa 12 orang pemain skuad remaja Wild Boar FC bersama jurulatih ketika operasi menyelamat sedang dijalankan.

Nampaknya, kita bakal menonton filem kisah benar kejadian 12 remaja dan jurulatih sesat di dalam Guan Tham Luang, Thailand di layar besar tidak lama lagi.

Ini kerana 2 penerbit filem dari Hollywood dikatakan berkhemah di lokasi operasi menyelamat sejak beberapa hari sebagai sebahagian daripada pemantauan terhadap 90 penyelam dari Thailand, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Menurut laporan Daily Mail, Pengurus Bersama Pure Flix Films, Michael Scott dan rakannya, Adam Smith melihat kejadian ini sebagai satu projek filem yang besar dan akan menggunakan pelakon kategori A.

Ketika operasi menyelamat masih dijalankan, kedua-dua mereka mula mengupas sebanyak mungkin maklumat mengenai insiden yang menimpa 12 orang pemain skuad remaja Wild Boar FC bersama jurulatih mereka.

Menurut Michael Scott, watak penyelam akan digunakan sebagai watak utama bagi filem ini dengan mengetengah elemen inspirasi, keberanian dan keperwiraan.

“Kami akan menerbangkan penulis skrip ke Thailand untuk merangka pelan.

“Sebelum itu kami akan mengatur krew untuk menemubual barisan anggota penyelamat, penyelam-penyelam daripada negara asing, anggota pasukan khas Navy SEAL Thailand, ahli keluarga mangsa dan mangsa sendiri,” tambah Michael Scott.

Tambah mereka, semua ini perlu dilakukan segera supaya tiada penerbit lain yang akan mendekati operasi ini untuk membuat filem.

Mereka juga akui tidak akan teragak-agak dalam menuntut hak eksklusif bagi menerbitkan semula kisah tersebut ke layar perak.

Scott yang berkahwin dengan wanita Thailand dan sering menghabiskan masa selama 3 bulan di negara itu setiap tahun turut mengakui pihaknya tidak akan memaksa mana-mana pihak untuk ditemuramah.

Sebaliknya pilihan tersebut akan dibiarkan dalam kalangan ahli keluarga mahupun pihak yang terlibat dalam operasi.

Pure Flix Films dari Arizona, Amerika Syarikat sebelum ini terkenal menerusi filem God’s not Dead yang mencatatkan kutipan AS$70 juta dari seluruh dunia.

Filem tersebut dijangkan akan memulakan penggambaran pada tahun 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.