
Satu laporan dalam majalah Reader’s Digest mengumpulkan kajian yang menunjukkan 4 anggota badan lain turut dikaitkan sebagai penentu tahap kecerdasan atau kebijakan seseorang.
Berkaki panjang atau tinggi
Kajian penyelidik dari Universiti Brown dan Universiti Princeton di UK menunjukkan orang yang lebih tinggi menerima lebih banyak pendapatan (wang) daripada orang yang pendek. Ini kerana mereka dikatakan lebih bijak.
Kajian itu menggunakan koleksi data yang mengumpul ketinggian, berat badan, kecerdasan, pengalaman pendidikan dan gaji orang yang dilahirkan di Amerika Syarikat dan Britain pada 1958 dan 1970 hingga meningkat dewasa.
Hasil analisis menyeluruh menunjukkan kanak-kanak yang lebih tinggi melakukan ujian kognitif yang lebih baik.
Tambahan pula, orang yang tinggi juga didapati cenderung memiliki jawatan yang lebih baik kerana mereka “kelihatan” cerdas dengan kemahiran verbal yang lantang. Walaupun penyelidik tidak dapat mendedahkan hubungan antara ketinggian dan kecerdasan, sesetengah menjangka genetik serta kaedah penjagaan awal mungkin memainkan peranan yang mempengaruhi otak mereka.
Tangan kidal
Percaya atau tidak, ramai orang yang bertangan kidal mempunyai kebolehan yang mungkin menjadi tarikan tersendiri mereka. Walaupun tidak dapat dipastikan tahap kebijakan itu tetapi kajian mendapati wujud kelebihan dalam kalangan mereka yang bertangan kidal. Penyelidikan dari Universiti Athens melibatkan kira-kira 100 orang pelajar dan siswazah menghubungkan pengguna aktif tangan kiri dan tangan kanan melalui 2 ujian kognitif.
Hasil 2 ujian kognitif kepada kedua-dua kumpulan itu menunjukkan pengguna tangan kidal jauh lebih baik daripada pengguna tangan kanan, bermakna mereka mempunyai kekuatan mental yang lebih baik.
Sesetengah pakar mengesyaki, keupayaan kognitif ini mungkin disebabkan oleh kemampuan pengguna tangan kiri menggunakan kedua-dua belah otak menjadikan usaha pemprosesan maklumat lebih mudah, pantas dan sahih.
Perut yang tidak besar
Perut yang besar (kegemukan) adalah petanda kesihatan yang tidak baik, kerana lazimnya ia dikaitkan dengan pelbagai masalah seperti tekanan darah ke kesihatan jantung, tidak dilupakan fungsi kognitif.
Kajian 5 tahun melibatkan 2,200 orang dewasa mendapati mereka yang mempunyai 20 atau kurang BMI (julat BMI yang sihat, 18.5-24.9) dapat mengingati 56% perkataan dalam ujian perbendaharaan kata.
Sementara itu peserta gemuk (BMI 30 atau lebih tinggi) hanya dapat menghafal 44% daripada perkataan ujian perbendaharaan.
Dr Maxime Cournot, penulis utama kajian menyatakan ia ekoran hormon lemak yang merosakkan sel-sel otak.
“Obesiti adalah faktor risiko kardiovaskular yang diiktiraf secara meluas. Ia berlaku kerana penebalan dan pengerasan saluran darah turut berlaku di arteri otak,” kata Cournot kepada Telegraph.
Kepala besar
Berkepala besar bermakna mereka pandai? Sabar, makna literal di sini adalah saiz kepala yang lebih besar dan bukannya perumpamaan “kepala besar”.
Kajian yang diterbitkan oleh Psikiatri Molekul melibatkan lebih 500,000 orang dalam penilaian kognitif dan fizikal, di samping pemeriksaan sampel darah, air kencing, dan air liur mendapati mereka yang mempunyai saiz kepala yang lebih besar pada saat kelahiran mempunyai skor kebijakan yang jauh lebih tinggi.
Malah satu kajian oleh Universiti Edinburgh pada 2017 juga menyatakan bayi yang lahir dengan kepala yang lebih besar cenderung menjadi kanak-kanak genius selain mempunyai kemampuan memori yang baik.