
Menjadi kelaziman untuk mengukur kekayaan seseorang dengan wang dan harta benda yang mereka miliki. Kita mungkin terlopong melihat kekayaan dan kemewahan seseorang dalam masa sama, kasihan pada yang hidup merempat di jalanan. Dua kedudukan berbeza tetapi dalam satu dunia.
Di Asia Tenggara yang seringkali dilabelkan sebagai negara membangun atau negara dunia ke-2 kecuali Singapura sebagai negara maju rantau ini tidak terkecuali daripada memiliki individu terkaya dunia.
Laporan terbaru Forbes World’s Billionaires 2018 menamakan 6 individu dari Asia Tenggara di dalam senarai tersebut.
Mari kita lihat 6 orang terkaya dari 6 negara di Asia Tenggara yang disebut dalam senarai “billionaire” 2018.
1. Vietnam – Pham Nhat Vuong (AS$4.3 bilion/RM17.38 bilion)

Pham Nhat Vuong adalah lelaki terkaya di Vietnam sekaligus berada di tangga 499 dalam ranking Forbes. Nhat Vuong memiliki Vingroup, salah satu konglomerat terbesar meliputi industri perniagaan hartanah, peruncitan dan kesihatan. Beliau yang hanya berusia 49 tahun merupakan billionaire pertama di Vietnam. Kind Heart Foundation adalah badan amal terbesar milik Nhat Vuong di Vietnam. Beliau berkahwin dengan Pham Thu Huong dan adik iparnya, Pham Thuy Hang juga antara individu terkaya di Vietnam.
2. Singapura – Robert dan Philip Ng (AS$10.8 bilion/ RM46.66 bilion)
Adik-beradik Robert dan Philip Ng dari Singapura berada di kedudukan 140 terkaya di dunia. Mereka terlibat dalam perniagaan hartanah di bawah nama Far East Organization. Mereka mewarisi kekayaan bapa, Ng Teng yang juga seorang jutawan yang memiliki sebahagian besar pembangunan hartanah di negara pulau itu.
3. Malaysia – Robert Kuok (AS$14.8 bilion/RM59.83 bilion)

Nama beliau tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Cakap pasal orang kaya, nama Robert Kuok tidak boleh terlepas. Antara 100 orang terkaya di dunia, Robert berada di tangga ke-98 menurut Forbes. Beliau adalah pengasas Hotel Shangri-la di Singapura dan menjalankan pelbagai perniagaan di bawah Kumpulan Kuok. Ia termasuk hotel, hartanah dan komoditi. Kuok juga memiliki saham terbesar dalam Wilmar International, syarikat pedagang kelapa sawit terbesar dunia. Walaupun berpusat di Hong Kong, beliau dilihat di Malaysia selepas rakan baiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri di bawah Pakatan Harapan. Apakah ia petanda baik? Kita tunggu dan lihat.
4. Thailand – Charoen Sirivadhanabhakdi (AS$17.9 bilion/ RM72.36 bilion)
Tahukah anda, orang paling kaya di tangga ke-65 di dunia adalah dari negara jiran kita, Thailand. Charoen Sirivadhanabhakdi merupakan pengasas dan pengerusi Thai Beverage, pembuat bir terbesar dunia. Sirivadhanabhakdi juga merupakan pengerusi Fraser & Neave, sebuah syarikat berasaskan makanan dan minuman di Singapore serta terlibat dalam industri hartanah. Beliau memiliki firma hartanah, TCC Land dan sekurang-kurangnya 50 hotel di sekitar Asia, Amerika, United Kingdom dan Australia. Keluarganya di kurniakan dengan nama “Sirivadhanabhakdi” oleh raja Thailand mendiang Raja Bhumibol pada 1988.
5. Filipina– Henry Sy (AS$20 bilion/RM80.85 bilion)
Sejak sedekad yang lalu, Henry Sy menjadi orang paling kaya di Filipina. Pengasas SM Prime Holdings yang merupakan pusat beli-belah dan peruncit terbesar di Filipina ini juga terlibat secara aktif dalam dunia perbankan, perlombongan, pendidikan dan penjagaan kesihatan. Henry mempunyai saham dalam syarikat makanan, minuman dan pembungkusan terbesar di Asia Tenggara, San Miguel.
6. Indonesia – R Budi Hartono (AS$17.4 bilion/RM70.34 bilion) dan Michael Hartono (AS$16.7 bilion/RM 67.51bilion)

Kalau digabungkan kekayaan milik 2 beradik dari Indonesia ini, ia 3 kali ganda lebih tinggi dari pesaing mereka di Singapura. Bapa R Budi dan Michael, Oei Wie Gwan memiliki beberapa syarikat tembakau terbesar di Indonesia, Djarum. Bagi sebuah negara dengan populasi 260 juta orang, kebanyakannya merokok, anda boleh bayangkan betapa besarnya pengaruh syarikat tersebut kepada orangg tempatan. Mereka juga pelabur utama dalam Bank Central Asia, salah sebuah institusi kewangan terbesar di Indonesia. Selain itu, mereka memiliki syarikat pengusaha elektrik, Polytron dan pelaburan hartanah di ibu kota Jakarta.