
Bagi wanita muda bernama Rubavathi Gunasilan,27, keputusan untuk meletak jawatan sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta demi menjaga anak kecilnya bukan keputusan yang mudah.

Maklumlah baru sahaja berkahwin dan melahirkan seorang puteri, Rubavathi terpaksa memilih antara kerjaya atau bayinya. Ekoran itu graduan Bahasa Inggeris dari unievrsiti tempatan ini meninggalkan dunia kerjaya, menjadi suri rumah sepenuh masa.
Kini dia dapat tersenyum puas kerana keputusan itu tidak menghampakan sesiapa khususnya diri sendiri. Kursus kemahiran ilmu pra-natal dan pasca natal yang dituntut ketika hamil menjana pendapatan yang lebih memuaskan sambil dia dapat meluangkan lebih banyak masa bersama si kecilnya, Shalom.
“Saya mempelajari ilmu pra dan pasca-natal ketika hamil 7 bulan bagi keperluan sendiri,” kata Rubavathi yang terpaksa menjaga diri dan anak dengan sendiri sewaktu berpantang kerana berjauhan dengan orang tua.
Rubavathi mendapati ilmu itu bukan sahaja berguna untuk dirinya malah menjadi perkhidmatan yang sangat diperlukan oleh kebanyakan ibu moden yang turut berdepan situasi sama sepertinya ataupun mereka yang memerlukan bantuan penjaga pantang.
Berkhidmat di bawah nama syarikat berdaftar, Rubysha Confinement Care yang ditubuhkan pada Mei 2017, Rubavathi mengambil 3 hingga 4 sesi penjagaan setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang.

“Setiap sesi saya luang masa satu jam setengah. Selepas tamat jika ada masa di antaranya, saya akan pulang untuk meluangkan masa bersama anak. Biasanya saya ada banyak masa bersama Shalom,” ujarnya.
Wanita muda itu juga akui terlibat dalam bisnes perkhidmatan ini selepas berkongsi mengenai kemahirannya dengan seorang rakan yang juga pengendali Facebook untuk ibu-ibu India Malaysia, Thaimaiyin Ulagam, Vatsala Nair.
Jelasnya, selepas mendapat bimbingan itu, dia berkongsi perkhidmatannya di direktori Facebook Thaimayin Ulagam dan perniagaannya mengambil langkah pertama dari platform tersebut.
Kini antara perkhidmatan yang ditawarkan Rubavathi ialah penjagaan ibu, penjagaan bayi, penjaga pantang, bimbingan penyusuan badan, penyediaan makan minum ibu berpantang dan urut.
Buat masa ini, Rubavathi mengehadkan perkhidmatannya di sekitar kawasan Kajang, Semenyih, Beranang, Bangi, Pajam, Mantin, Dengkil, Sepang, Nilai, Sg.Besi, Balakong dan Cheras bagi memudahkan dia mengatur masa dan perjalanan.
“Saya mahu ibu yang baru bersalin berehat sepenuhnya dan secukupnya. Mereka seharusnya meluangkan masa dengan anak sahaja.
“Ia bukan hanya mengenai pendapatan semata-mata. Apabila anda menggalas satu tanggungjawab besar melibatkan ibu baru bersalin dan bayi baru lahir, ia satu tugas yang mulia.
“Pertama sekali anda kena membawa aura positif supaya dapat memberi sokongan yang baik kepada si ibu dan bayi. Kedatangan anda seharusnya melegakan dan menggembirakan,” kata Rubavathi yang akui tugasnya itu bukan hanya berpaksi kepada duit.
Ditanya mengenai cabaran tugasnya, Rubavathi amat selesa kerana kebanyakan pelanggan sangat memahami dan menuruti cara kerjanya.

“Saya akan menjelaskan segala-galanya ketika mereka membuat ‘booking’ supaya tidak wujud sebarang salah faham atau kekeliruan.
“Jadi, setakat ini tiada masalah, malah hubungan saya dan pelanggan lebih rapat dan erat dalam tempoh pantang kerana mereka selesa berkongsi detik itu dengan seseorang yang professional.
“Saya mengikuti semua garis panduan Kementerian Kesihatan dan World Health Organisation, seperti mana yang saya pelajari di kursus dulu. Jadi tiada masalah,” katanya yang menggunakan konsep tradisi dan moden dalam penjagaannya.

Rubavathi hanya perlu menyediakan herba dan rempah lebih awal, yang mana memerlukannya mengatur masa secara bijak.
Dia berkata kekangan ruang rumah yang sempit juga menghalang dia menerima pelanggan yang ingin berkunjung ke rumahnya untuk tujuan mengurut.