Berita bahasa Arab Bernama disaran jadi bahan pembelajaran

Berita bahasa Arab Bernama disaran jadi bahan pembelajaran

Bernama menubuhkan portal Bahasa Arab pada 24 Okt 2002 bagi menyalurkan berita mengenai politik, ekonomi, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan hal ehwal agama Islam kepada 18 pertubuhan berita di negara-negara Arab.

Portal berita Bahasa Arab Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) disaran menjadi bahan pembelajaran utama pelajar jurusan Bahasa Arab tempatan dalam memantapkan kemahiran dan penguasaan bahasa berkenaan.

Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) Malaysia Dr Abdul Razif Zaini, yang membuat saranan itu, berkata pembelajaran Bahasa Arab melalui berita adalah medium terbaik dan mampu membantu pelajar meningkatkan keupayaan serta penguasaan bahasa di tahap terbaik.

“Portal berita Bahasa Arab Bernama amat sesuai dijadikan bahan bacaan wajib para pelajar kerana penggunaan laras bahasa mudah difahami dan isu semasa dalam konteks Malaysia yang dekat di hati mereka.

“Adapun bahan berita Bahasa Arab dari timur tengah mungkin menyukarkan sedikit penguasaan para pelajar berbanding portal ini disebabkan penggunaan laras bahasa yang tinggi dan isu bersifat antarabangsa,” katanya kepada Bernama selepas program wacana ilmiah ‘Bahasa Arab dan Media’ anjuran ISESCO di sini baru-baru ini.

Bernama menubuhkan portal Bahasa Arab pada 24 Okt 2002 bagi menyalurkan berita mengenai politik, ekonomi, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan hal ehwal agama Islam kepada 18 pertubuhan berita di negara-negara Arab.

Portal itu membabitkan terjemahan berita, rencana dan laporan khas yang dihasilkan Bernama serta petikan akhbar berwibawa yang ada kaitan dengan perkembangan Islam di Malaysia atau relevan kepada hubungan antara Malaysia dan negara-negara Arab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.