
Pada masa kini ramai lelaki sudah mula memberi perhatian terhadap penampilan dan persediaan diri mereka, ini termasuk wangian atau semburan.
Namun, ramai yang tidak memberi perhatian kepada jenis minyak wangi yang digunakan sama ada ia sesuai dengan keperluan berbeza, misalnya ke pejabat, bersukan, bersama kawan-kawan atau bersama teman wanita.
Ikutkan memang ada jenis wangian tertentu untuk setiap majlis atau acara, dan menurut pakar minyak wangi dari Fragrance Resources, Steve Demercado, pilihan aroma yang salah boleh menyebabkan kesan buruk malah mengganggu keselesaan orang lain.
Di bawah adalah panduan ringkas mengenai jenis wangian yang boleh disuaikan dengan acara tertentu.
1. Urusan kerja atau perniagaan
Jika anda ke pejabat atau ada perjumpaan berhubung perniagaan dan sebagainya, wangian floral yang ringan seperti lavender adalah salah satu pilihan yang tepat. Ini kerana aroma tersebut mampu membawa rasa tenang dan menjadikan si pemakainya kelihatan mesra. Lazimnya bagi golongan adam, wangian floral tidak akan didatangkan sebagai aroma secara tunggal sebaliknya dicampur dengan beberapa aroma lain seperti cendawan musk atau berkayu.
2. ‘Dating’ atau temujanji khas
Momen istimewa ini haruslah didampingi dengan wangian yang mencipta kesan baik. Jadi pilih wangian aroma manis yang mengingatkan kita tentang madu, coklat atau sitrus. Saat teman anda menghidu bau tersebut, dia pasti akan ingin berada lebih dekat kerana sudah biasa dengan bau itu. Bagaimapun lelaki harus elak bau yang terlalu manis sebaliknya digabungkan dengan aroma kasturi, kayu, tembakau, atau kulit, supaya nampak maskulin.
Kalau rasa segan nak “sweet sweet”, anda mungkin boleh cuba wangian gabungan oriental seperti bau nilam, resin amber atau pokok, kayu, rempah-rempah dan vanila, yang memberikan perasaan yang hangat. Aroma ini lebih sesuai pada waktu malam atau cuaca sejuk.
3. Bersenam, aktiviti banyak berpeluh
Ingat, apabila melakukan aktiviti sukan atau fizikal yang menggunakan kudrat dan mengeluarkan peluh, maka anda memang kena beralih kepada wangian yang jauh berbeza. Aroma segar atau wangian sitrus adalah pilihan terbaik. Ini kerana bau sitrus misalnya akan mengingatkan kepada momen segar, bersih dan bersemangat.
4. Lepak bersama kawan-kawan
Bagi persekitaran yang tidak formal dan mesra seperti inilah kita bebas meunjukkan identiti kita yang tersendiri. Jadi pilih aroma kegemaran yang mencerminkan diri anda. Demercado mencadangkan supaya anda mencuba wangian yang lebih berani dan kuat, bukan wangian yang konservatif atau biasa-biasa.
“Pilih aroma yang kuat yang mengatasi bau asap rokok, peluh, atau bau makanan dan minuman,” katanya. Ia boleh dipilih daripada aroma sumber gaharu, kayu seperti cendana atau aroma tembakau.
5. Mengembara
Mengembara juga salah satu aktiviti berat yang harus diserasikan dengan bau wangian yang sesuai. Jangan pilih bau yang terlalu tajam supaya bau itu tidak mengganggu persekitaran yang dikunjungi orang ramai. Aroma akuatik adalah pilihan yang disaran, ia didatangkan dari bau bunga sekaligus mencipta kesan yang menyegarkan. “Gunakan aroma yang lebih personal, yang hanya berbau ketika orang mendekati anda,” kata Demarcado.