Jenis senaman yoga yang sesuai untuk anda

Jenis senaman yoga yang sesuai untuk anda

Walaupun yoga diprekrepsi untuk sesuatu masalah kesihatan termasuk masalah berat badan, ia tidak sepatutnya dikongkong dalam konteks itu, sebaliknya menjadi sebahagian daripada gaya hidup.

Tiap kali ada individu yang datang untuk belajar yoga, niat mereka lazimnya hanya untuk mengurangkan berat atau membentuk tubuh.

Malah pada masa kini ‘yoga’ dipasarkan dengan menggunakan perspektif yang sama dengan menetapkan “berat atau saiz” seseorang sebagai tarikan jualan.

Maka, jelaslah kebanyakan individu ke kelas yoga hanya kerana isu kesihatan iaitu obesiti atau “badan sudah tidak cantik”. Ia umpama mengambil ubat untuk sakit, maknanya ada sudah ada sakit dan yoga hanyalah ubat yang mengawal atau mengubati.

Sepatutnya, yoga digunakan sebagai pengelak masalah kesihatan, yakni menjadi gaya hidup, sama seperti makan, minum, tidur dan bernafas. Kalau anda tinggalkan salah satu daripada 4 elemen di atas, anda mungkin tidak dapat hidup, sekarang masukkan yoga dalam senarai itu.

Apapun, yoga mengalu-alukan mana-mana individu, yang muda dan tua, kurus atau obes, sihat atau sakit, selagi anda bernafas anda boleh buat yoga.

Kontradiksi dengan pemahaman awam, yoga bukanlah senaman malah hanya sebahagian kecil kandungan keseluruhan yoga. Yoga yang sebenar mengandungi elemen moral, prinsipal hidup, senaman, pernafasan, meditasi dan elemen “detachment” atau penyingkiran serta “samadhi” iaitu penyempurnaan.

Namun, mencapai semua aspek ini bukanlah mudah, lagipun senaman dalam yoga dilihat sebagai salah satu cara paling mudah mendisiplinkan diri dan menemui jalan sebenar ajaran yoga.

Jadi bermulalah dengan senaman atau lebih dikenali sebagai “asana” dan capai signifikan sebenar amalan yoga ini.

Lazimnya, bagi mereka yang tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai yoga, mereka mungkin tidak sedar kewujudan pelbagai jenis dan keadah pembelajaran asana atau senaman yoga. Ia juga menjadi sebab ramai yang mengaitkan senaman yoga dengan amalan agama Hindu.

Baik, sekarang mari kita teliti jenis-jenis senaman yoga yang popular di pasaran dan bagaimana ia dihasilkan bagi menyesuaikan dengan keperluan tubuh dan minda seseorang.

1. Hatha Yoga

Ini adalah salah satu jenis senaman yoga yang paling tradisional yang wujud untuk sekian lama. Dalam bahasa sanskrit ‘Ha’ bermaksud matahari dan ‘tha’ bermaksud bulan. Maka pergerakannya juga seumpama menyeimbangkan tubuh kita antara elemen panas dan sejuk. Hatha yoga diperkenalkan pada abad ke-15 ini bersifat lembut, perlahan dan dan relaks. Apabila anda melakukan pergerakan hatha, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada tubuh untuk mengenali potensinya malah minda untuk dibawa bertenang mengikut pergerakan. Keutamaan yang diberikan kepada pernafasan juga membantu kelancaran dalaman tubuh.

*Kalau anda masih baru dengan yoga, mahupun mencari ketenangan sambil mengamalkan senaman, anda patut pilih ini. Salah satu jenisyoga yang terbaik untuk semua jenis umur.

2. Ashtanga Yoga

Ashtanga bermakna 8 bahagian anggota badan. Jadi senaman ini bersifat menggunakan kudrat 8 bahagian anggota tetapi menekankan keseluruhan tubuh badan. Ia berlawanan dengan Hatha, bersifat sedikit laju dan memerlukan banyak tenaga. Gaya ashtanga mempunyai format tersendiri di mana anda kena ikuti beberapa jenis asana mengikut kelancaran dalam kiraan pernafasan. Banyak senaman dalam ashtanga berupa postur yang lebih mencabar mengikut peringkat. Ia membantu meningkatkan kordinasi dan stamina tubuh justeru mengurangkan berat badan. Ada elemen spiritual (bukan agama).

*Sesuai untuk mereka yang mahukan sedikit cabaran dan keterujaan dalam mempelajari senaman yoga. Sediakan tuala dan air, anda akan mandi peluh!

3. Iyengar Yoga

Jenis yoga ini dibangunkan oleh guru bernama B.K.S. Iyengar yang menekankan ketelitian dan perincian dalam setiap postur yoga dan pergerakannya. Dalam membantu pengamal senaman yoga mencapai kesempurnaan, Iyengar memperkenalkan penggunaan props atau bahan bantuan seperti blok, kerusi, bantal dan sebagainya. Menariknya mengenai senaman ini ia tidak bersifat laju maka anda ada semua masa untuk menghayati dan menikmati postur-postur yang mencabar ini.

* Jika anda berdepan masalah kesihatan yang kronik atau kecederaan, Iyengar Yoga adalah pilihan yang paling sesuai. Ia membantu melegakan sakit, otot ketat dan meregang sendi anda.

4. Bikram Yoga atau Hot Yoga

Bagaimana agaknya melatih senaman yoga dalam sauna? Secara umum, itulah yang diamalkan dalam konteks Bikram Yoga atau Hot dan Yin yoga. Ketika membuat yoga ini, ruang senam akan diubah kepada purata 40°C dan dilakukan secara berterusan untuk 60 hingga 90 minit (dengan atau tanpa rehat). Secara amnya, kira-kira 26 jenis pose digunakan dalam aliran ini tetapi ada penambahan mengikut keperluan pelajar dan tawaran daripada guru yoga. Yoga yang diperkenalkan pada 1970 oleh Bikram Choudry di Japan ini lazimnya diikuti oleh mereka yang boleh bertahan dengan persekitaran panas dalam masa sama mahu menghilangkan taksik badan serta kuranggkan berat badan.

*Boleh dicuba oleh sesiapa yang ada ketahanan terhadap suhu panas. Cuma pastikan anda banyak, banyak minum air sebelum dan selepas senaman yoga ini supaya tidak terhidrasi.

5. Vinyasa Yoga

Sama seperti Hatha tetapi Vinyasa mengutamakan postur yang pelbagai tetapi ia dilakukan secara beritma dengan mengutamakan kelancaran pernafasan. Jadi Sun Salutation juga diambil kira sebagai sebahagian Vinyasa. Kaedah ini membantu pernafasan yang lebih lancar, mendalam dan untuk membina otot. Selain itu Vinyasa membantu meningkatkan fleksibiti, membentuk badan, mengurangkan masalah berkaitan jantung dan tekanan darah tinggi serta diabetes jenis 2.

*Sesuai kepada semua orang termasuk mereka yang baru bermula dan untuk keperluan kesihatan.

Akhir sekali, Selamat Hari Yoga Antarabangsa kepada semua pengamal yoga!

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.