Berita palsu baru lebih ‘kreatif’, yang lama tetap dikongsi

Berita palsu baru lebih ‘kreatif’, yang lama tetap dikongsi

Orang ramai masih buta ilmu kerana berkongsi berita palsu yang sah sumbernya diragukan atau sudah disahkan tidak sahih.

Seiring kempen dan propaganda menjelang pilihan raya, rangkaian sosial seperti Whatsapp juga dibanjiri dengan pelbagai maklumat yang dihubungkaitkan dengan musim ini.

Namun, kebanyakan mesej tidak bersumber yang dikongsi bukanlah “berita” sebaliknya sekadar perkongsian palsu.

Berita yang disahkan palsu pada 2013 pun masih membuat pusingan di Whatsapp sama ada bertujuan mengelirukan orang ramai atau berniat sengaja menyebabkan huru-hara.

Tidak kira apa sekalipun parti politik yang diikuti, menyebarkan perkara yang penuh penipuan sangat keterlaluan.

Mari kita imbas antara perkongsian palsu yang baru dan juga lama yang masih dikongsi di Whatsapp, pesanan ringkas, dan rangkaian sosial lain.

Gangguan bekalan elektrik di stesen undi – tak habis lagi ke?

Walaupun pihak polis menolak khabar angin berhubung gangguan bekalan elektrik semasa proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di daerah Bentong di Pahang, berita itu terus dikongsi sehingga ke hari ini.

Ia mula dikongsi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 tahun lepas walaupun hakikatnya tiada gangguan sedemikian yang berlaku.

Pada PRU14, orang ramai masih dilihat berkongsi isu tersebut dengan mengenakan pihak tertentu, dan boleh menyebabkan tercetus peraaan sangsi, tegang, kurang senang dalam kalangan pengundi.

Nama Cina, bangsa India disangka Bangla

Ini satu lagi perkara yang terus membuat pusingan berkali-kali. Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjawab isu kad pengenalan yang tular di media sosial kononnya ”IC warga asing yang diberikan warganegara”.

Sebenarnya pemegang MyKad itu seorang berketurunan India, merupakan anak angkat kepada ibu bapa berketurunan Cina yang menamakannya dengan nama Cina.

Malah mereka yang berdarah kacukan Cina-India juga seringkali menjadi mangsa disangka warga negara Bangladesh atau bukan warganegara Malaysia.

Ini bahasa Telugu, bukan Benggali

Kali ini, viral gambar kain rentang parti BN yang menggunakan tulisan bahasa Telugu salah satu bahasa dari benua India di kawasan Bagan Datuk di Perak.

Ada pihak yang menularkan gambar dengan merujuk bahasa minoriti itu sebagai tulisan Bangladesh serta mempersoal keperluannya selain menghasut perasaan membenci.

Inilah masalah bila tidak cukup ilmu. Memandangkan Bagan Datuk dihuni majoriti kaum India berbangsa Telegu, pendekatan yang digunakan tidak salah tetapi jelas menunjukkan sikap buru-buru kita termasuk mereka yang berkongsinya secara meluas.

Tak salah ada kod pakaian tapi jangan palsukan fakta

Beberapa minggu lalu, mesej kononnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan tampil dengan etika berpakaian seperti ke pejabat ketika mengundi pada PRU14 menjadi viral.

Mesej itu kononnya sengaja mahu melarang pengundi menunaikan tanggungjawab beralasankan pakaian.

Namun ia dinafi oleh SPR yang akui tidak pernah dan tidak akan menghalang seseorang pengundi dari memasuki tempat mengundi asalkan tidak menyalahi Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Kecuali anda memakai pakaian dan peralatan yang memaparkan nama calon, simbol atau lambang parti politik pada hari mengundi, anda tidak akan dihalang, ingat!

Jari palsu dari Jepun pun masuk sekali

Sejak tahun lalu, viral gambar-gambar menunjukkan jari palsu sekali gus menuduh ada pihak yang menyediakannya untuk digunakan pada PRU14.

Walaupun dihasilkan di Jepun untuk kegunaan gangster Yakuza yang kehilangan jari mereka, ia “dikitar semula” untuk kepentingan politik dengan niat jahat.

Kalau nak tahu, ia dihasilkan oleh pembuat prostetik silikon bahagian tubuh manusia, Shintaro Hayashi yang mana pelanggannya terdiri daripada mereka yang kehilangan tubuh badan ketika kemalangan, kanser payudara dan sebagainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.