
Tahukah anda terdapat kajian yang menyatakan tempoh jangka hayat bagi sesuatu ilmu dalam bidang perubatan hanya setakat 7 tahun?
Maknanya, selepas 7 tahun, hanya setengah ilmu yang kita ketahui sekarang akan kekal benar dan relevan. Ia termasuk kajian membabitkan pengiraan ekoran kemajuan dalam bidang sains yang sangat pesat.
Ini menjelaskan mengapa banyak “fakta” salah tetapi kekal hingga sekarang. Senarai di bawah adalah “fakta” popular walaupun tidak benar atau kurang tepat.
#1: Duduk atas bantal menyebabkan punggung berbisul
Petua ini agak terkenal dalam kalangan orang tua. Mungkin ia bagi melarang seseorang duduk di atas bantal tetapi menegur secara berkias. Namun petua ini masih digunakan secara meluas sehingga ke hari ini.
Fakta: Bisul adalah folikel rambut yang dijangkiti. Jangkitan tersebut menyebabkan benjolan yang dikenali sebagai bisul. Bisul boleh berlaku di banyak tempat di badan termasuk punggung, tengkuk, bahu dan juga kelopak mata.
#2: Gula-gula getah kekal dalam perut jika tertelan
Walaupun terdapat beberapa versi, yang paling popular ialah gula-gula getah akan berada di dalam perut selama 7 tahun jika ditelan. Ia turut disokong dengan fakta kononnya, ia melekat di dinding usus.
Fakta: Gula-gula getah akan melalui usus dan keluar memandangkan ia tidak boleh dihadam. Ini kerana manusia tidak mempunyai enzim untuk memecahkan bahan dalam gula-gula getah yang bersifat getah. Namun kami ingin menasihati anda supaya tidak menelannya dengan sengaja. Terdapat beberapa kes di mana kanak-kanak menelan terlalu banyak gula-gula getah sehingga membawa kepada masalah sembelit.
#3: Rambut tumbuh lebih tebal selepas dicukur
Perkara ini tidak benar. Rambut kelihatan lebih tebal selepas dicukur kerana ia lebih pendek dari biasa.
Fakta: Rambut atau bulu yang dicukur akan tumbuh kembali seperti sebelum ia dicukur.
#4: Menelan biji buah-buahan seperti biji tembikai menyebabkan apendiks

Fakta: Kajian menunjukkan tiada kaitan signifikan antara biji buah-buahan dan apendiks. Anda tidak perlu risau jika tertelan biji-biji tersebut. Tetapi jangan cuba menelan biji durian!
#5: Gula-gula buat kanak-kanak terlebih aktif
Kanak-kanak dilarang memakan gula-gula kerana bimbang menyebabkan mereka terlalu aktif. Walaupun fenomena ini sering dilapor oleh ibu-bapa yang serik memberi gula-gula kepada anak mereka, kajian melaporkan sebaliknya.
Fakta: Kajian tersebut boleh dibaca dalam jurnal JAMA 1995 yang mengesahkan tiada kaitan antara gula dan kelakuan atau kognisi dalam kalangan kanak-kanak. Namun, hadkan jumlah makanan dan minuman manis yang kerana ketagihan kepada gula boleh menyebabkan berat badan berlebihan dan diabetes.
#6: Coklat buat jerawat lebih teruk
Berita ini akan menggembirakan ramai orang. Beberapa pakar kulit menyatakan gula dan lemak dalam coklat tersebut yang menyebabkan tumbuhnya jerawat pada kulit.
Fakta: Kajian menyatakan coklat membuatkan jerawat lebih teruk adalah kajian lama yang masih diperdebatkan kesahihannya. Nasihat yang lebih logik adalah untuk tidak makan coklat jika anda rasa ia memburukkan keadaan.
#7: Lelaki tidak boleh mendapat kanser payudara

Fakta: Lelaki juga boleh mendapat kanser payudara kerana mempunyai jenis tisu sama seperti wanita di dada. Perbezaannya, ia hanya menjadi lebih ketara selepas proses baligh. Oleh kerana itu, walaupun risiko bagi lelaki untuk mendapat kanser payudara jauh lebih rendah, ia masih tetap boleh berlaku.
#8: Vaksinasi menyebabkan autisme

Fakta: Vaksinasi sangat penting kerana ia bukan sahaja memberi perlindungan, tetapi juga memberi kesan positif kepada masyarakat secara umum. Sesuatu penyakit boleh dibasmi jika terdapat lebih banyak orang divaksin, makin berkurangan peluang bagi kuman-kuman yang menyebabkan penyakit tersebut membiak.
#9: Manusia hanya menggunakan 10% keupayaan otak
Fakta ini sering digunakan dalam filem, mungkin kerana ia merupakan konsep yang menarik. Ia juga mungkin digemari kerana memberi harapan kepada semua terhadap potensi yang masih boleh dicapai.
Fakta: Imbasan otak menunjukkan kesemua bahagian otak berfungsi setiap masa. Otak sangat aktif sehingga ia memerlukan banyak tenaga untuk beroperasi.
Kesimpulannya, banyak lagi fakta salah yang belum dikongsi di sini. Apa yang menarik, mungkin dalam 15 tahun lagi, beberapa fakta di sini juga boleh disangkal dan dibuktikan salah. Apa yang pasti, kami akan menilai semula artikel ini pada masa hadapan untuk mengkaji balik fakta-fakta yang dikongsi.

DoctorOnCall adalah klinik dalam talian pertama di Malaysia yang menawarkan khidmat perundingan menerusi mesej, panggilan telefon dan panggilan video kepada doktor berdaftar Malaysia secara langsung di www.doctoroncall.com.my
Facebook: https://www.facebook.com/doctoroncallMY
Instagram: https://www.instagram.com/doctoroncallmy
PENAFIAN: Maklumat artikel ini tidak sama sekali menggantikan nasihat doktor profesional. Anda digalakkan mengesahkan setiap maklumat yang dikongsi dengan sumber lain, dan menilainya dengan doktor anda. Amaran: Jangan sesekali tidak menghiraukan atau membelakangkan nasihat doktor profesional atau pakar hanya kerana maklumat yang dibaca di sini. FMT tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dikaitkan dengan sebarang kerosakan disebabkan maklumat artikel ini.