Usaha OKU penglihatan tepati kehendak teknologi

Usaha OKU penglihatan tepati kehendak teknologi

Kepesatan teknologi maklumat dalam pelbagai sektor secara tidak langsung menjadikannya satu keperluan untuk ‘golongan istimewa’ itu mencapai taraf hidup yang lebih baik dan tidak terpinggir.

“Antara masalah utama orang kurang upaya (OKU) penglihatan ialah mengakses maklumat yang kebanyakannya dalam bentuk cetakan biasa dan elektronik.

“Meskipun ada maklumat yang dicetak dalam format tulisan braille, tetapi ia masih terhad. Itulah yang menjadi jurang terbesar antara kami dengan manusia normal yang lain,” demikian luahan hati Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB) Silatul Rahim Dahman semasa temubual di pejabatnya di Brickfields baru-baru ini.

Beliau yang mesra disapa Cikgu Rahim, 50, berkata disebabkan kekangan itu juga yayasan berkenaan suatu ketika pernah mengadakan ‘sesi membaca surat khabar’ untuk golongan itu mengetahui berita-berita semasa.

“Sebagai contoh setiap pukul 5.00 petang sukarelawan akan datang (ke yayasan) dan memperuntukkan masa satu jam membaca surat khabar.

“Tapi sampai bila begitu? Zaman dan teknologi semakin canggih, kita perlukan kaedah yang lebih praktikal untuk golongan ini mengakses sendiri lambakan maklumat yang datang dalam pelbagai bentuk,” jelasnya.

Perisian khas kejar kepesatan teknologi

Menyedari perkara itu, Cikgu Rahim yang juga OKU penglihatan Malaysia pertama yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sains Komputer dengan pengkhususan perisian khas OKU selama 3 tahun di Universiti Boston, Massachusetts Amerika Syarikat berkata, beliau terpanggil untuk membantu golongan senasib dengannya.

Kepesatan teknologi maklumat terutama penggunaan komputer yang bersifat ‘wajib’ dalam pelbagai sektor hari ini secara tidak langsung menjadikannya satu keperluan untuk ‘golongan istimewa’ itu mencapai taraf hidup yang lebih baik dan tidak terpinggir.

“Selaras dengan misi penubuhan yayasan, kami berhasrat membantu OKU penglihatan untuk mahir dalam bidang teknologi termasuklah berkongsi manfaat teknologi baru. Sehingga kini kami melatih kira-kira 10,000 OKU penglihatan di Malaysia, rantau Asia Tenggara dan rantau Asia Pasifik mengguna perisian khas yang dipasang pada komputer.

“Perisian bersuara atau pembaca skrin yang dikenali sebagai perisian ‘JAWS’ ini berfungsi dengan membenarkan komputer menghasilkan suara untuk setiap huruf atau teks yang ditaip oleh papan kekunci ataupun yang terpapar di skrin komputer,” jelas beliau, yang juga jurulatih komputer bagi OKU penglihatan bertaraf antarabangsa.

Antara golongan yang dilatih menggunakan perisian berkenaan ialah pelajar, penuntut universiti awam dan swasta. Mereka diajar oleh guru pendidikan khas dari dalam dan luar negara seperti Indonesia dan Laos serta tenaga pengajar OKU supaya mereka boleh melatih OKU yang lain.

Cikgu Rahim bagaimanapun berkata, perisian yang berasal dari Amerika Syarikat itu boleh mencecah sehingga RM4,000 hingga RM 5,000 untuk sekeping cakera video digital (DVD) sekaligus menjadi halangan untuk golongan itu mempelajarinya jauh sekali memilikinya secara individu.

“Disebabkan itu, kami memerlukan ramai penyumbang untuk melatih lebih ramai OKU penglihatan agar mahir menggunakan perisian ini. Walaupun kami turut melatih mereka menggunakan perisian percuma ‘NVDA’, namun ia tidak selengkap perisian ‘JAWS’ yang mempunyai banyak kelebihan.

“Usaha berterusan ini diharap dapat membantu mengubah taraf hidup mereka melalui peluang mengakses maklumat sekaligus memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya sambil menambah badan korporat dan agensi kerajaan seperti Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera melalui program tanggungjawab sosial korporatnya tidak terkecuali menyumbang dalam misi ini.

Selain kursus perisian ‘JAWS’ dan ‘NVDA’, yayasan melatih OKU penglihatan menggunakan paparan braille iaitu sejenis ‘hardware’ tertera butang tulisan braille, yang apabila disambungkan ke komputer atau lap-top boleh menghasilkan tulisan sebenar pada skrin komputer.

Hasilkan buku Braille

Dengan menguasai kemahiran menggunakan perisian berkenaan, matlamat jangka masa panjang yayasan adalah melatih guru pendidikan khas menghasilkan lebih banyak buku dalam format braille terutama untuk kanak-kanak bagi meningkatkan tahap literasi golongan itu.

Proses menghasilkan sesebuah buku braille bukanlah tugas mudah kerana ia memerlukan tenaga pakar yang khusus, selain faktor kos dan beberapa peringkat proses termasuklah menggunakan mesin pencetak khas.

Cikgu Rahim pada masa sama turut menunjukkan beberapa buah buku yang dihasilkan yayasan berkenaan yang mendapat permintaan tinggi dari sekolah pendidikan khas termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Buku-buku (bahan bacaan kanak-kanak) ini kita hasilkan dan ia tidak dijual di luar. Kami berhasrat memperbanyakkan lagi bahan bacaan seperti ini untuk kami edarkan ke sekolah-sekolah pendidikan khas.

“Setakat ini kami hanya dapat mengedarkan ke sekolah rendah (pendidikan khas) sahaja. Tetapi jika lebih ramai sudi menyumbang kami juga akan mencetak untuk pelajar sekolah menengah dan bahan bacaan yang lebih meluas termasuklah majalah dan novel,” katanya sambil menambah terdapat bahan bacaan kanak-kanak yang diterbitkan oleh syarikat tempatan yang dipindahkan ke format braille dengan mendapat kebenaran penerbit.

Selain fokus terhadap bidang teknologi, yayasan turut menyediakan latihan kesedaran ketidakupayaan yang bertujuan memberi pendedahan kepada sektor perkhidmatan seperti bank, pengangkutan dan perubatan berhubung kaedah mengendali pelanggan OKU penglihatan.

“Contohnya, apabila OKU penglihatan ke klinik, jururawat boleh membantu untuk mengelak salah faham kerana ubat-ubatan tidak dilabel dengan tulisan braille. Selain itu, cara memimpin berjalan juga perlu betul, bukan tarik baju, tolak ke depan dan macam-macam cara lagi yang tidak tepat sekaligus boleh mendatangkan bahaya… Orang mungkin nampak ‘benda simple’ tetapi kesannya amat besar kepada kami.

“Begitu juga dalam aspek penyediaan dan menghidangkan makanan kerana kami tidak tahu apa yang dihidangkan. Jadi kita boleh latih mereka yang terlibat untuk menggunakan sistem jam sebagai contoh pukul 9 ada sayur, pukul 12 ada ayam, pukul 3 ada nasi dan pukul 6 ada buah agar mereka boleh memaklumkan kepada OKU penglihatan mengenai perkara itu. Jika tidak rugilah saya sebab tak tahu ada ayam dalam pinggan,” katanya berseloroh.

Latihan itu yang diadakan sepanjang tahun oleh pihak yayasan diharap sedikit sebanyak dapat membantu sektor awam mahupun swasta memperbaiki mutu perkhidmatan mereka termasuk layanan lebih mesra kepada golongan OKU penglihatan.

Kuala Lumpur tawar kemudahan terbaik

Ditanya mengenai kemudahan infrastruktur untuk golongan OKU di negara ini, Cikgu Rahim berkata apa yang ada hari ini boleh disifatkan sebagai antara yang terbaik di rantau Asia.

Ujarnya, Kuala Lumpur sendiri antara bandaraya yang mempunyai kemudahan asas terbaik untuk golongan OKU berbanding negara jiran yang lain.

“Bagaimanapun, halangan utama adalah sikap masyarakat sendiri yang menyalahgunakan kemudahan untuk OKU sebagai contoh garisan kuning yang dibuat untuk jadi pandu arah OKU digunakan untuk meletak kereta, motosikal malahan untuk mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol (mabuk) tidur.

“Di samping itu, kemudahan seperti tandas awam sering disalah guna oleh pihak ketiga dan kadang-kadang pencuci tandas sendiri menggunakannya sebagai ‘store’ dan menguncinya,” katanya sambil menambah isu parkir untuk OKU juga antara masalah yang sekian lama berlaku dan memerlukan kesedaran orang awam.

Mengenai stigma segelintir masyarakat terhadap golongan itu pula, beliau berkata ada yang ‘mempromosi’ OKU penglihatan sebagai subjek derma semata-mata sedangkan lebih daripada itu mereka memerlukan sokongan dan bimbingan terutama untuk mengeluarkan potensi diri.

“Yang tak nampak mata, bukan hati malah kami juga mempunyai kepakaran dan kelebihan tertentu sama seperti manusia normal lain. Jadi bila sebut mengenai OKU, janganlah semata-mata mengaitkan kami dengan derma, kebajikan malah menjual tisu semata-mata,” jelasnya.

MFB kekal relevan untuk OKU penglihatan

Sehingga hari ini terdapat kira-kira 45,000 OKU penglihatan di Malaysia dan MFB adalah satu-satunya yayasan OKU penglihatan yang memberi fokus terhadap latihan kemahiran teknologi maklumat dan komputer.

Ianya bertujuan mengurangkan jurang perbezaan digital antara OKU penglihatan dengan masyarakat biasa sekaligus meningkatkan akses golongan itu kepada pelbagai medium maklumat.

Disahkan hilang penglihatan selepas menghidap demam panas pada usia 5 tahun, Cikgu Rahim sebelum ini pernah berkhidmat sebagai guru pendidikan khas di Pulau Pinang selama 12 tahun, menjadi pengurus kanan di Persatuan Orang Buta Malaysia selama 12 tahun dan berkhidmat sebagai CEO MFB sejak 5 tahun.

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai yayasan ini termasuk pertanyaan atau sumbangan, orang ramai boleh melayari laman sesawang http://www.mfb.org.my/ atau menghubungi 03–2276-6616 serta alamat email [email protected].

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.