‘Proposal’ drama asyik ditolak, pemilik produksi terpaksa pandu Grab

‘Proposal’ drama asyik ditolak, pemilik produksi terpaksa pandu Grab

Pemilik Enuja Production, Zainuddin akui sangsi dan mendakwa tidak logik langsung apabila cadangannya tidak diterima sejak setahun lalu.

Pemilik syarikat produksi, Enuja Production, yang pernah menerbitkan drama seperti Menantu Ting Tong dan Menantu Bilal, Zainuddin Mohd Ismail, kini memandu Grab dan membantu restoran ahli keluarga selepas gagal ditawarkan peluang menerbitkan drama.

Memetik laporan Harian Metro, Zainuddin tidak dapat meneruskan hidupnya dalam bidang hiburan selepas segala kertas kerjanya ditolak.

Keadaan itu memaksa beliau mengubah hala tuju walaupun masih menyimpan kakitangan dan menggaji mereka dengan harapan akan mendapat peluang menerbitkan drama.

“Cadangan saya ditolak dengan alasan tidak sesuai walaupun saya menghantar banyak cadangan untuk penerbitan telefilem dan drama episod terbaru,” katanya.

Jelasnya segala usaha memastikan skrip drama diterima menemui kegagalan, termasuk menggunakan khidmat penulis skrip baru mahupun berpengalaman.

Zainuddin akui sangsi dan mendakwa tidak logik langsung apabila proposalnya asyik ditolak sejak setahun yang lalu.

“Bukan calang-calang penulis skrip yang mencuba nasib menerusi ‘proposal’ yang dihantar bawah produksi saya.

“Macam tak logik apabila semua ‘proposal’ ditolak. Saya sendiri tidak tahu apa alasan sebenarnya,” katanya yang menjalankan operasi Enuja Production sejak 15 tahun lalu.

Drama dan telefilem terbitan Enuja Production ialah seperti Transit Terakhir, Dalam Kasut, Miranda, Sehelai Songket Berbunga Penuh dan sebagainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.