
Sebaik tarikh pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dimumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), laman sosial dihujani pelbagai mesej dan status mendesak orang ramai supaya turun mengundi, tanpa menjadikan hari Rabu sebagai alasan untuk tidak berbuat demikian.
Pada hari sama, Shukri Saad, 40-an sibuk mengendalikan pelayan unit rangkaian bagi menampung bebanan penglibatan pengguna bagi aplikasi yang dikendalikan syarikatnya, Droupr.

Droupr ialah aplikasi tumpang kereta yang beroperasi di Malaysia, diasaskan oleh Shukri dan sekumpulan krew bagi memberi pilihan untuk menumpang perjalanan sambil ditemani “rakan baru”.
Walaupun dilancar pada Jun 2016, namun ia menerima respon di luar jangkaan sejak tarikh pilihanraya ke-14 diumumkan semalam.
“Tidak sampai sehari, pengguna aplikasi Droupr meningkat dari 5,600 kepada angka terbaru, 7,100. Peningkatan 1,500 pengguna baru secara mendadak menyebabkan kami terpaksa mengendalikan pelayan bagi memastikan ia boleh menampung kapasiti baru,” ujar Shukri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Droupr ketika dihubungi FMT Ohsem.
“Ia menyebabkan kami berkerja lebih tetapi ia baik untuk perniagaan,” katanya sambil ketawa.
Hashtag #carpoolGE14 dan #pulangmengundi antara yang trending di laman sosial dan aplikasi tumpang kereta #Droupr yang juga menjadi viral sejak itu.
Bagi merancakkan lagi pilihan menumpang kereta menggunakan Droupr, syarikat ini turut menyediakan “faedah pilihan raya” khas untuk pengguna.
“Bagi tempoh 5hb hinggga 13hb Mei, Droupr akan menyediakan manfaat penggunaan khas,” ujar Shukri.

Jelasnya, menerusi kerjasama dengan pengguna kad WeXaver Petronas/Petron, Droupr akan menyediakan rebat petrol 3 sen setiap liter kepada pemandu, termasuk tambahan 1 sen bagi pemandu yang aktif dan satu sen lagi bagi pemandu yang mempunyai pelanggan ketika menuang petrol.
Ini bermakna pihaknya sedia memberikan sehingga 5 sen rebat bagi setiap liter petrol bagi tempoh yang dinyatakan.
Bagaimana pula dengan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan Droupr?
“Mereka juga akan ditawarkan dengan promosi RM5 X 2 (perjalanan pergi dan balik) bagi tempoh masa sama,” kata Shukri.
Bagi aspek keselamatan, Shukri menjamin aplikasinya mementingkan elemen tersebut di mana ia satu-satunya produk yang menyediakan “distress signal” atau isyarat kecemasan tanpa menggunakan data tetapi hanya dengan aplikasi.
Nampaknya, semua pihak bijak menggunakan peluang yang ada dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan, lebih penting menjimatkan, semuanya bagi menggalakkan kita mengundi dan melunaskan tanggungjawab sebagai warganegara.