
Wanita berusia 35 tahun itu menjelaskan mengenai lukisan hitam putihnya berjudul “Sun in Hiding” kepada Bernama, ketika ditemui baru-baru ini pada perasmian pameran ‘RRRAWRRR!!! Maybank’s Emerging Women Artists Show 2018’ di Balai Seni Maybank di sini.
Sarah Joan adalah antara 31 pelukis wanita yang karya seninya dipamerkan pada pameran 2 minggu (8 -23 Mac), sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac.
Beliau berkata lukisan yang menggambarkan mentari dalam persembunyian, adalah ibarat dirinya sebagai seorang pelukis.
Beliau percaya karya itu juga menggambarkan kebanyakan wanita lain.
“Di dalam setiap insan termasuk wanita, ada suatu mimpi yang membuatkan peribadi kita menyinar, menjadikan kita gembira, tetapi mungkin kebanyakan masa dalam hidup, kita tidak dapat mencapai kegembiraan itu.
“Anda harus memberitahu diri sendiri, bahawa ia bukanlah apa-apa. Ia sekadar sesuatu yang pendam, menunggu masa, mengumpul tenaganya,” jelas ibu kepada 2 anak itu.
Bermula awal
Sarah Joan, yang memperoleh ijazah sarjana dalam Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) memulakan kerjayanya dalam seni sebagai pelukis ilustrasi majalah komik tempatan yang terkenal, Ujang. Ketika itu beliau masih belajar di tingkatan 2.
Komiknya “Awek Aspuri” popular dalam kalangan remaja.
Duta Belia TN50 itu telah memenangi beberapa anugerah dan pengiktirafan yang antaranya 2006 Nokia Upstart Awards, pemenang tempat kedua bagi 2006 Malaysian British Council “In Print” National Art Competition, serta pemenang bagi 2007 Winner of Mdec Digital Comic Competition.
Sarah Joan juga pemenang Pertandingan Catan Mural Kontemporari 1Malaysia di bawah projek Balai Seni Negara pada 2010.
Portfolio beliau yang mengagumkan meliputi ilustrasi buku cerita kanak-kanak, kulit album muzik, dan karya catan mural yang boleh dilihat di Marmalade Café dan Kitchs Boutique di kompleks beli-belah Bangsar Village.
Beliau percaya tidak seorang pun, sama ada wanita atau pelukis yang bercita-cita, patut berputus asa demi mengejar impian walaupun terpaksa mengharungi banyak halangan dan tanggungjawab.
“Mentari tidak pernah hilang, mentari sentiasa ada, walaupun kita hanya dapat melihat awan. Hanya bumi yang berubah arahnya,” katanya.
Kesempurnaan dalam ketidaksempurnaan
Sementara itu, melalui karya seninya berjudul “Perfect Imperfection”, pelukis Nurulfitriah Azwani Roslan, 25, melukis potret pelbagai wajah dan ekspresi wanita secara kreatif dan indah.
“’Perfect Imperfection’ adalah mengenai sesuatu yang dilihat sebagai ketidaksempurnaan sedangkan setiap yang diciptakan Allah itu adalah sempurna. Ia mengenai pandangan manusia yang berbeza antara satu dengan yang lain,” jelas beliau.
Cat minyak berwarna pastel pada kanvas, katanya, adalah cara menghargai ketidaksempurnaan manusia, terutamanya wanita.
Juga dikenali sebagai Yuyu, beliau yang dilahirkan di Kedah berkata kerja-kerjanya itu adalah berdasarkan pengamatan terhadap ciri-ciri wajah manusia dan karakteristik mereka.

Walaupun belum melihat sebarang layanan tidak adil terhadap pelukis wanita, beliau percaya bahawa artis wanita perlu berusaha dua kali lebih tekun untuk mendapat pengiktirafan.
“Cabarannya, pelukis wanita adalah minoriti (dalam industri), bidang seni lukis dikuasai oleh kalangan lelaki,” katanya.
Pelukis wanita bakal kuasai bidang seni
Bagaimanapun, kurator pameran Tan Sei Hon berkata, tidak lama lagi bidang seni lukis Malaysia akan dikuasai oleh golongan wanita, mungkin dalam beberapa tahun akan datang.
Tan, yang juga pensyarah sambilan di 2 buah kolej seni swasta tempatan di Kuala Lumpur menyaksikan sejumlah besar pelajar wanita mengambil jurusan seni halus sejak 5 tahun lepas.
Beliau berkata UiTM, yang melahirkan jumlah pelukis wanita paling ramai di negara ini, mempunyai banyak graduan wanita yang sudah menempa nama sebaik sahaja mereka memasuki industri seni lukis tempatan.
“Jika seorang pelukis adalah individu yang istimewa, maka pelukis wanita adalah lebih istimewa.
“Ini kerana mereka memilih untuk menceburi industri yang didominasi oleh golongan lelaki yang berkaitan mitos, budaya dan makna yang tersendiri,” katanya dalam nota kurator yang diterbitkan dalam katalog pameran berkenaan.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa wujud tekanan tambahan apabila golongan lelaki tidak mampu berhadapan dengan kenyataan, apatah lagi untuk melepaskan kerjaya seni mereka.
Para pelukis wanita lebih cenderung untuk meninggalkan bidang ini, kadang-kadang untuk sementara, sering kalinya secara kekal setelah berumahtangga dan membesarkan anak, atau menjaga ibu bapa yang sakit.
“Ketepikan kesemua cabaran ini, kalangan pelukis wanita patut dipuji bersandarkan merit karya-karya mereka,” katanya.
Tan menegaskan kalangan pelukis wanita telah berada di barisan hadapan dalam menyumbang karya-karya menarik dari segi kemahiran teknikal, penggunaan bahan-bahan, konsep dan pendekatan.
Antara artis wanita Malaysia ialah Georgette Chen (1906-1993), Lai Foong Moon (1931-1995), Nirmala Dutt Shanmughalingam (1941-2016), Dr Siti Zainon Ismail, Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir, Fatimah Chik, Norma Abbas, Mastura Abdul Rahman, Sylvia Lee Goh, Eng Hwee Chu, Wong Woan Lee, Nur Hanim Khairuddin, Shi Yih Ying, Bibi Chew, Azliza Ayob, Sharon Chin, Umi Baizurah, Intan Rafizah, Aisyah Baharuddin, Illy Farhana, Yee Ilann, Shooshie Sulaiman, Suzy Sulaiman, Tertriana Ahmed Fauzi dan Lisa Foo.