
Selepas 12 tahun pembikinan, Dukun, filem Melayu yang pernah dihalang tayangannya kerana beberapa keraguan dan kontroversi, akhirnya bakal ditayang dan bakal menemui penonton pada 5 April yang dibawakan semula oleh Astro Shaw.
Dukun dikatakan berdasarkan kisah benar pembunuhan ahli politik Malaysia, Datuk Mazlan Idris, oleh seorang penyanyi popular pada 1993 yang juga pengamal ilmu hitam, Mona Fandey.
Filem yang sepatutnya ditayangkan pada Disember 2006 menampilkan Umie Aida sebagai Diana Dahlan, watak pembunuh utama membayangi watak Mona Fandey, Adlin Aman Ramlie sebagai Datuk Jefri, pelanggan Diana juga mangsa terakhirnya serta Faizal Hussein sebagai Karim, peguam Diana.
Selain Umie, pelakon lain yang turut membintangi filem itu adalah Hasnul, Namron, Bront Palarae, Soffi Jikan, Elyana, Faizal Hussein, Chew Kin Wah, Deana Yusof, Mislina Mustafa, Nadiya Nisaa, Adlin Aman Ramli dan ramai lagi.
“Akhirnya kita bertemu berikutan kepesatan pembangunan Kuala Lumpur, muncul sebuah kisah perihal ketaksuban manusia terhadap kekayaan, kuasa, kecantikan, keremajaan abadi dan darah yang tumpah dalam mengejar semuanya. Karim, seorang peguam nekad untuk mencari anaknya yang hilang tanpa mengira caranya.
“Masalah Karim menjadi semakin sukar apabila dia membuat perjanjian dengan Diana Dahlan, seorang OKT (Orang Kena Tuduh) yang berjanji untuk membantu pencariannya. Tanpa diduga, Karim membongkar kisah yang lebih gelap yang menyebabkan dia kehilangan segala-galanya.”
Demikian kenyataan yang diuar-uarkan dalam laman Youtube Astro Shaw berserta trailer dan tarikh tayangan filem tersebut.
Dikategorikan sebagai Filem dan Animasi, filem itu kembali menjadi buah mulut selepas ia dikatakan bocor dalam Internet pada awal tahun ini.
Bagaimanapun, laporan sebuah akhbar tempatan pula menyatakan penamat filem yang dimuat naik itu bukan penamat sebenar kerana proses suntingan sebenar masih belum selesai.
Pengarah filem terbabit, Dain Said pula mengakui tidak tahu apa-apa dan enggan komen lanjut mengenai kebocoran filem yang berdurasi selama 1 jam dan 35 minit itu.
Sebelum ini, video viral kelibat imej seorang wanita berjalan memakai kebaya merah di lebuh raya secara berulang kali dikaitkan sebagai gimik filem Dukun.
Dalam pada itu, ramai netizen yang menjangkakan filem Dukun diubah suai atau ditukar jalan cerita mengikut kesesuaian berbanding filem lama atau filem yang bocor dalam internet.
Apapun kita kena bersabar dan tunggu sehingga ia dibawa ke pawagam secara sah. Kalau 12 tahun kita boleh tunggu, takkan tak boleh tunggu 3 hari lagi kan?