Jaga-jaga meregang, mematah leher boleh sebabkan strok

Jaga-jaga meregang, mematah leher boleh sebabkan strok

Leher merupakan struktur tubuh penting, mengandungi kord, batang otak, arteri, saluran darah, ligamen, saraf, tulang, urat, sendi dan otot.

Berdepan masalah leher kaku atau rasa tidak selesa selepas asyik membongkok melihat skrin komputer/telefon anda? Dalam situasi sedemikian, kita tergerak untuk melakukan sedikit regangan otot leher atau dengan mematah leher ke sisi.

Leher terasa lebih baik, dan anda kembali bekerja. Beberapa jam kemudian, anda melakukan perkara sama dan ia menjadi rutin.

Perbuatan memetahkan leher, sendi tulang kaki dan jari tangan, memberi kelegaan segera untuk sendi kaku, tetapi sebenarnya tidak sihat.

Kiropraktor dari Pinto Chiropractic & Rehabilitation di Williamsburg, Vancoveur, Dr Robert Pinto, berkata kekerapan mematahkan leher terutama sekali tanpa teknik yang betul dan selamat boleh menyebabkan masalah serius termasuk strok.

“Jika anda tidak tahu apa anda lakukan, anda berpeluang mencederakan diri sendiri,” kata Pinto.

Menurutnya, leher merupakan struktur tubuh penting, mengandungi kord, batang otak, arteri, saluran darah, ligamen, saraf, tulang, urat, sendi dan otot. Jadi amalan memutar atau mematah boleh merisikokan bahagian halus pada leher.

Ia boleh meyebabkan urat tersimpul, terputar atau rosak secara kekal, termasuk arteri yang membawa darah terus kepada otak anda.

Walaupun jarang sekali berlaku, ia fenomena yang membawa kesan jangka masa panjang.

The Health Journals melapor, tindakan mengenakan tekanan tidak sepatutnya pada cecair dalam tubuh (leher) menghasilkan buih-buih gas kecil. Seperti yang anda lihat apabila membuka minuman bergas.

Sendi mengandungi gas oksigen, nitrogen dan karbon dioksida serta cecair yang melincirkan tulang. Terdapat juga tekanan negatif pada sendi. Kewujudan gelembung gas pada sendi mampu memberi kesan jauh lebih buruk daripada biasa, jelas Pinto.

Bagi pakar kiropraktor, mereka akan menggunakan peronggaan untuk membebaskan sendi kaku dan menjadikannya berfungsi secara lebih baik.

“Setiap orang kena belajar cara selamat untuk mengatasi masalah ini supaya memberi kesan positif,” kata Pinto.

Beliau menggunakan contoh gegelung getah, jika anda kerap meregangkannya, ia akan hilang bentuk dan grip.

“Sekiranya anda meregang ligamen terlalu kerap dengan memecahkan leher atau belakang, anda mungkin tidak dapat memberikan kestabilan sendi yang diperlukan untuk mengekalkan postur yang betul.

“Ia boleh membawa kepada masalah seperti sakit, kekakuan dan pincang saraf serta vertebra,” kata beliau lagi.

Namun beliau akui ia berbeza dengan perbuatan memecahkan buku jari yang tidak mempunyai banyak bahagian halus. Sesetengah kajian menunjukkan mematahkan buku jari secara berulang menjadikan mereka lebih sihat.

Tetapi bukan leher.

Jadi elakkan mematah atau meregang leher anda sesuka hati, jangan sampai ia menjadi ketagihan sedangkan tidak pernah membawa penyelesaian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.