Mahu awasi anak, bapa tercipta produk kraf kreatif

Mahu awasi anak, bapa tercipta produk kraf kreatif

Idea mencipta kapal terbang hiasan dari PVC terpakai tercetus apabila dia mahu mengawal pergerakan anak ketiganya yang juga orang kelainan upaya.

Free Malaysia Today
Kreativiti penting dalam menghasilkan kraftangan yang pelbagai (Gambar hiasan)

Untuk berjaya sebagai pengusaha produk kraftangan daripada bahan terpakai, seseorang itu perlu berfikiran kreatif serta tidak takut untuk cuba menghasilkan sesuatu yang baharu.

Abdul Naaim Azaddin, 55, memegang kemas prinsip tersebut sepanjang beliau mula mengusahakan pelbagai produk kraftangan berasaskan bahan terpakai di sebuah bengkel kecil di hadapan rumahnya di Pekan Atap, Gurun, Kedah.

Pada mulanya beliau hanya menghasilkan cendawan batu untuk hiasan taman, namun mula mempelbagaikan produknya dengan mencipta kapal terbang hiasan daripada batang paip polivinil klorida (PVC) terpakai sejak awal tahun ini.

Ketika ditemui Bernama di bengkelnya itu, beliau berkata idea itu tercetus apabila dia mahu mengawal pergerakan anak ketiganya yang juga orang kelainan upaya (OKU), Nur Adila Natasha, 13, kerana sering keluar bermain berhampiran jalan raya sewaktu dia sibuk bekerja di bengkel.

“Dia seorang OKU akibat penyakit sawan, dia suka bermain di luar walaupun saya melarangnya. Akhirnya timbul idea untuk mencipta kapal terbang kecil daripada paip PVC, lampu kereta dan dawai, manakala kipasnya diperbuat daripada tin minuman.

“Saya beritahu dia, kapal terbang itu akan mengesan dan memberi amaran jika dia masih keluar bermain di luar, tak sangka pula dia akan percaya, tambahan pula apabila angin bertiup, kipas kapal itu akan berpusing dan mengeluarkan bunyi yang agak kuat menyebabkan dia takut untuk keluar rumah,” katanya.

Walaupun rasa lucu dengan reaksi anaknya itu, Abdul Naaim berkata sekurang-kurangnya dia kini dapat fokus dengan kerja di bengkel tanpa perlu terlalu runsing dengan keselamatan Nur Adila Natasha.

“Sejak itu, saya buat beberapa lagi percubaan, rangka kapal terbang itu saya tambah sayap dan ekor, manakala kipasnya pula saya tukar dengan bahan yang lebih ringan agar tidak mengeluarkan bunyi bising.

“Kini sudah lebih 100 model yang dihasilkan dalam pelbagai warna dan saiz, malah lebih separuh daripadanya sudah terjual…harganya pula serendah RM30, bergantung kepada saiz kapal terbang yang dihasilkan,” katanya.

Sementara itu, beliau juga akan terus menghasilkan cendawan batu untuk hiasan taman memandangkan sejak dihasilkan pada 2005, produk tersebut masih mendapat permintaan daripada pelanggan lama dan baharu, selain kerusi dan meja bertemakan cendawan serta kincir angin mini ciptaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.