
Arab sangat obses dengan pelakon Bollywood khususnya King Khan, Shah Rukh Khan.
Hampir semua orang di negara teluk itu mengenali Shah Rukh Khan dan mengikutinya, sama ada menerusi filem, laman sosial dan internet.
Kini mereka juga memiliki pelanduk 2 serupa, seorang lelaki berbangsa Jordan yang memiliki raut wajah mirip Shah Rukh Khan, daripada gaya rambut, lesung pipit, mata dan hidungnya.
Wajah jurugambar, Akram Al Eissawi menjadi viral dan mula dikenali ramai selepas dianggap sebagai Badshah of Bollywood dalam beberapa kejadian.
Sukar dibezakan bagi kebanyakan orang, Akram menjadi tajuk berita utama sehinggalah dia dijemput untuk temuramah dalam sebuah rancangan pagi di saluran Al Arabiya.
“Saya menerima hakikat yang saya kelihatan seperti bintang filem popular tetapi tak berapa suka dengan penggunaan perkataan ‘lookalike’,” katanya dalam temuramah itu petik Forbes India.

Dia juga memberitahu, menerima puluhan tawaran untuk berlakon dalam filem dan projek televisyen tetapi hanya bersetuju untuk menerima beberapa buat masa ini.
Dia dipercayai bakal berlakon dalam filem Arab tidak lama lagi.
Walaupun ramai yang akui Akram kelihatan hampir sama dengan Shah Rukh Khan dan teruja memiliki seorang yang berwajah serupa di teluk Arab, namun bukan semua menunjukkan keghairahan yang sama.
Segelintir netizen mendakwa Akram tidak membawa ciri comel seperti Shah Rukh Khan yang sebenar dan masih tidak cukup kacak.
Apapun, ia hanya pandangan segelintir kerana Akram sudahpun menjadi hero laman sosial dan tak lama lagi bakal menjadi hero filem Arab.