

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin yang mengesahkan perkara itu berkata jenazah mangsa akan di bawa ke kampung halamannya di Kampung Permatang Gading, Pasir Putih, Kelantan untuk dikebumikan.
Jenazah dijangka tiba kira-kira jam 9 pagi ini dan dijadual dikebumikan selepas solat Jumaat.
Mangsa sebelum ini dirawat di Hospital Temerloh selepas tidak sedarkan diri akibat dipatuk ular selar pada 12 Mac lepas ketika dalam misi menangkap reptilia itu di Bentong.

Abu Zarin bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Temerloh sebelum ini terkenal dengan gelaran ‘Wira Penyelamat’ berikutan kecekapannya mengendalikan kes ular berbisa.
Beliau yang sudah bersama jabatan itu sejak 10 tahun mengetuai Skuad King Cobra Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang yang ditubuhkan pada penghujung 2015.
Ia diwujudkan bagi melatih anggota pasukan untuk menangkap haiwan berbisa selain mengadakan ceramah dan taklimat kepada orang ramai.
Sebelum kejadian terkini, Abu Zarin pernah beberapa kali diserang ular senduk dan digigit ular sawa termasuk pernah koma 2 hari akibat dipatuk ular tedung pada 2015.