

Parkir oh parkir…
Setiap masa ada saja berita membabitkan isu tempat letak kereta dikongsi. Terbaru, satu video menunjukkan tindakan seorang wanita berdiri di petak parkir sedangkan tiada kenderaan kelihatan berdekatan.
Rakaman kamera seorang pemandu menunjukkan wanita itu enggan berganjak tetapi turut disertai ahli keluarga lain yang “berkhemah” di lot parkir di Flushing, Michigan.
Lelaki itu cuba bertanyakan tentang kenderaan mereka dan mengingatkan ia parkir untuk kenderaan dan bukan untuk manusia.
“Mana kenderaan kamu? Ini untuk kenderaan, sila beralih,” kata lelaki itu yang berang dengan perangai wanita tersebut.
Wanita itu dipercayai lari ke tempat parkir kosong dari kereta yang dipandu ahli keluarganya untuk menahannya daripada diparkir kenderaan lain.
Sebenarnya kalau dibandingkan dengan kes-kes di Malaysia, kes seperti yang dinyatakan di atas adalah kejadian hari-harian yang sangat biasa. Entah-entah sekarang pun ada yang tengah “chop” parkir tunggu kereta yang dipandu suami sambil membaca artikel ini.
Ingat lagi kejadian di bazar Ramadan di Kuah, Langkawi apabila seorang wanita bersama suaminya menghemburkan kata-kata kesat sebelum menunjukkan isyarat lucah ke arah perakam?
Mereka bertindak menyerang pemandu sebuah kenderaan yang mempersoal perbuatan memparkir kereta sedangkan si perakam sudah lama tunggu dan mengenakan signal.
Pasangan itu juga menyerang kereta perakam dengan membaling kedua-dua belah selipar dan memukul bahagian depan kereta.
Banyak lagi kes sama membabitkan pergaduhan tempat letak kereta sehingga ada terpaksa ditahan polis, dibawa ke mahkamah, dipenjara dan dikenakan hukuman.
FMT Ohsem menyenarai 10 isu umum menyebabkan pergaduhan kerana parkir di Malaysia, diambil hasil laman sosial. Mari kita lihat satu per satu:
1. Parkir depan rumah orang
Paling kerap berlaku khususnya di kawasan penempatan rumah atas tanah. Bila setiap ahli keluarga ada kereta sendiri tetapi parkir terhad, mulalah mencari tempat di rumah orang. Masalahnya, orang lain pun ada kereta juga!
2. Parkir halang lalu lintas
Pemandu tidak sedar sehingga orang lain terpaksa memberitahu. Keadaan seperti ini boleh menjadi parah sehingga menyebabkan kesesakan atau masalah keluar masuk. Lepas parkir, sila periksa, jangan jadi pengacau!
3. “Chop” parkir
Lazim dan selalu berlaku terutama waktu kemuncak, musim jualan atau perayaan. Perkara ini sangatlah menjengkelkan dan boleh buat orang naik berang. Bersiap sedialah kalau kena “sound”.
4. Songlap parkir orang
Ini pun perkara biasa berlaku. Pemandu boleh hilang sabar bila parkir lama ditunggu tiba-tiba disonglap pemandu lain. Laju masuk, muka selamba, langsung tak mahu toleh kita dan berjalan keluar. Memang sakit hati!
5. Guna parkir OKU, khas untuk wanita, keluarga
Pemandu tidak bertanggungjawab dan jahil kerana mengggunakan hak orang lain. Ini kena ada akal sendiri untuk menilai. Memang dah jadi budaya kita tetapi cubalah ubah.
6. Parkir berganda (Double parking)
Ini pun perkara biasa, kadang kala tak boleh nak buat apa sebab tiada ruang. Tetapi gunalah akal fikiran. Sama ada bebaskan brek tangan atau letak nombor telefon. Ini pula selamba tinggal sampai berjam-jam. Bayangkan kalau ada kecemasan?
7. Parkir di tempat khas
Kalau parkir itu dikhaskan untuk orang lain, nombor plat tertentu jangan mengada cuba sumbat kereta anda. Memang kena samanlah!
8. Letak kereta di bahu jalan
Lazim berlaku ketika waktu mula/tamat sekolah, kalau ada kenduri atau bila-bila masa. Kalau menyusahkan atau membahayakan dan menyebabkan kesesakan, eloklah dielak.
9. Parkir rumah, tapi letak kenderaan syarikat
Lazim berlaku di kawasan penempatan bertingkat (apartment, kondo) apabila tempat parkir penduduk digunakan syarikat tertentu untuk meletak kenderaan mereka. Lain kali ambil gambar dengan nama syarikat pada kenderaan dan muat naik sahaja di laman sosial, biar mereka belajar.
10. Parkir tengah jalan
Ada orang yang langsung tidak menggunakan akal, parkir kereta tengah jalan kononnya, sekejap sahaja. Biasa berlaku di kawasan kedai dan rumah dan alasan lazim digunakan, nak guna tandas, ambil anak, beli barang. Walau sekejap, ia tetap menggangu!