Pink InspirerS tumpu sokongan penghidap kanser tahap 4

Pink InspirerS tumpu sokongan penghidap kanser tahap 4

Kanser payudara tahap 4 atau Kanser Payudara Metastatik (MBC) membabitkan penularan sel kanser ke bahagian organ lain seperti paru-paru, hati, tulang atau otak.

Chang-Chu-San_kanser_fmt
Sokongan sesama pesakit mahupun ahli keluarga penting bagi penghidap kanser menjalankan kehidupan yang lebih berkualiti.
fmt-ohsem-inside-article1“Hidup ini penuh dengan ketidaktentuan. Kebimbangan utama saya adalah ketidaktentuan sama ada masih boleh menjalani rawatan agar dapat hidup lebih lama.

“Atas sebab itu, saya menganggap setiap hari yang dilalui sebagai bonus demi memenuhi harapan dan impian yang ada. Impian saya mahu melihat semua anak berjaya dalam kehidupan mereka,” kata Chang Chu San, 55, menghidap kanser payudara tahap 4.

Kanser payudara tahap 4 atau Kanser Payudara Metastatik (MBC) membabitkan penularan sel kanser ke bahagian organ lain seperti paru-paru, hati, tulang atau otak.

Lebih 30% wanita yang menghidap kanser payudara peringkat awal dijangka menghidap MBC walaupun mereka melalui rawatan yang betul serta mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya.

Chang ditemui pada pelancaran Pink InspirerS, kumpulan sokongan yang diterajui penghidap MBC di Malaysia memberitahu bahawa beliau didiagnosis menghidap MBC kira-kira 3 tahun lepas.

Pelancaran kumpulan itu dianjurkan oleh Pfizer Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) di Bangsar di sini baru-baru ini.

Tumor merebak ke hati

Menjelas lanjut, Chang yang juga pengasas bersama Pink InspirerS, pertama kali didiagnos menghidap kanser payudara pada Ogos 2008.

Setelah menjalani pelbagai rawatan termasuk pembedahan mastektomi, kimoterapi dan radioterapi, ibu kepada 2 anak lelaki itu didapati bebas daripada kanser payudara tahap 2 dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.

Malangnya, beliau mula mengalami gejala-gejala kesakitan gastrik dan masalah pencernaan pada Ogos 2014.

“Saya kemudian menjalani pemeriksaan kesihatan terperinci dan mendapati kanser itu telah merebak ke hati… sesungguhnya saya tidak menyangka kanser itu akan kambuh (relapse) lagi.

“Sedih, hancur luluh hati apabila doktor memberitahu mengenainya, apatah lagi tempoh hayat saya dikatakan hanya tinggal kira-kira 2 atau 3 bulan,” katanya yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Subang Jaya.

“Emak, berapa lama masa doktor beri (untuk hidup)?” itulah soalan pertama anaknya apabila diberitahu mengenai kanser yang merebak ke hati, kerana pada pengetahuan mereka ia penyakit yang tiada ubatnya.

Wanita itu bagaimanapun enggan berputus asa. Beliau terus ‘menggali’ maklumat mengenai rawatan-rawatan kanser payudara tahap 4 dan mendapatkan beberapa pandangan pakar onkologi sebelum menentukan regim terapi yang dapat mengawal kansernya itu.

“Sememangnya, saya amat kecewa untuk seketika, namun saya bertekad untuk teruskan kehidupan. Saya bertanyakan doktor jika boleh melakukan pemindahan hati, dan jika tidak, apakah alternatif lain? Namun, satu-satunya rawatan adalah dengan kimoterapi.

“Juga sangat bertuah kerana suami sentiasa di sisi. Beliaulah semangat saya dan selalu memberi keyakinan untuk saya teruskan kehidupan. Anak sangat menyokong, jadi saya tidak boleh putus asa,” jelas beliau sambil menambah rawatan dan sokongan keluarga banyak menyumbang untuk beliau kekal positif.

Masih ada kehidupan selepas didiagnos kanser

Kajian mendapati penghidap MBC sering rasa terasing, sendirian, tertekan, tidak dipedulikan dan tidak mendapat perhatian dalam kalangan komuniti kanser payudara.

Tekanan psikologi akibat daripada rawatan berpanjangan dan beban kewangan amat dirasakan bukan sahaja dalam kalangan penghidap MBC malah keluarga mereka.

Chang berkata, memandangkan mereka sering mengalami emosi tidak menentu, maka pemahaman dan sokongan sosial serta emosi daripada masyarakat sangat penting.

“Kami yang terpaksa menjalani rawatan berpanjangan sangat memerlukan sokongan dan galakan berterusan. Malangnya, masyarakat selalunya tidak empati mahupun memahami penderitaan dan keperluan golongan penghidap MBC.

“Sebagai anggota perintis Pink InspirerS, saya mahu membantu dan memberi sokongan kepada penghidap MBC lain dan paling penting adalah untuk menyebarkan kata-kata semangat iaitu ‘masih ada kehidupan walaupun menghidap kanser payudara, malah MBC,” katanya.

Selain berhasrat menikmati kehidupan sebaik mungkin dan meluangkan masa berkualiti dengan suami dan anak yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara, Chang kini semakin positif dan banyak melakukan aktiviti gaya hidup seperti mendaki, bermain bowling, melancong dan makan makanan yang lebih menyihatkan.

“Saya sangat memerlukan sokongan keluarga dan rakan-rakan rapat dalam mengharungi dugaan kanser kali kedua ini,” katanya.

Tiada penawar untuk MBC

Sementara itu, turut berkongsi pendapat mengenai MBC adalah Presiden BCWA Ranjit Kaur yang berkata terdapat perbezaan ketara terutama dari segi keperluan sokongan sosial dan emosi oleh penghidap MBC berbanding pesakit kanser payudara peringkat awal.

Masyarakat boleh memberi sokongan kepada penghidap kanser payudara tahap awal dengan mengatakan “ia boleh dirawat dan akan pulih”, namun penghidap MBC memerlukan lebih daripada itu kerana mereka mengalami pelbagai ketidaktentuan dan keadaannya lebih getir.

“Memandangkan tidak ada penawar untuk MBC, keadaan mental dan emosi dalam menghadapi penyakit ini sangat penting terutamanya berkaitan perasaan penghidap mengenai diri sendiri, hubungan dengan orang lain dan kehidupan harian mereka.

“Penghidap MBC lebih selesa berbual sesama pesakit MBC berbanding pesakit kanser payudara tahap awal, terutamanya mengenai apa yang mereka rasai dan lalui, keadaan penyakit itu, rawatan yang diperlukan, komplikasi serta kesan sampingan ubat-ubatan dan rawatan. Ini kerana mereka berada dalam keadaan serupa,” kata mentor Pink InspirerS itu.

Ranjit seterusnya menjelaskan bahawa selain berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan, mereka juga berhadapan dilema sama ada bersedia menghadapi kematian atau terus menikmati kehidupan.

Persoalan-persoalan seperti jangka hayat, sama ada mendapat rawatan sesuai, serta mimpi ngeri yang menghantui sekiranya rawatan itu gagal sentiasa di fikiran penghidap MBC.

“Pada tahap metastatik ini, penyakit akan merebak dengan pantas serta mengalami bermacam-macam kesakitan terutamanya yang baharu didiagnosis MBC akan memerlukan perhatian khusus dan sokongan padu dalam menghadapi penyakit itu.

“Oleh itu, kumpulan sokongan seperti Pink InspirerS amat penting. Ia boleh menjadi platform untuk penghidap MBC berkongsi maklumat serta perasaan masing-masing, mendapatkan kemudahan rawatan bersesuaian, saling menyokong sambil memupuk kesedaran umum dalam kalangan komuniti pesakit kanser payudara,” jelas beliau.

Pink InspirerS beri sokongan sosial

Ranjit, juga adalah ‘survivor’ kanser sejak 1998 berkata Pink InspirerS yang kini mempunyai 12 anggota berhasrat bersungguh-sungguh menghapus stigma sosial yang dikaitkan dengan MBC serta menyatukan semua penghidap MBC di seluruh negara dalam menangani isu-isu penting seperti hak pesakit di sisi undang-undang, pembelaan, pekerjaan, akses kepada rawatan-rawatan lanjutan serta penjagaan kanser.

Antara aspek yang diberi keutamaan termasuk memperbaiki komunikasi antara doktor dan pesakit, latihan psikososial, serta perkara-perkara berkaitan kewangan.

“Kami mahu memperkasakan wanita penghidap MBC agar hidup bermaruah, tabah menghadapi dugaan kanser, berikan semangat kepada pesakit-pesakit yang baharu didiagnosis MBC bahawa mereka masih boleh menikmati kehidupan yang bermakna dengan terdapatnya jagaan dan rawatan terkini serta sokongan padu keluarga.

“Kami juga ingin melatih kumpulan pesakit sebagai sukarelawan untuk memberi latihan dan maklumat sewajarnya mengenai cara menjalani kehidupan walaupun menghidap kanser,” katanya.

Ketika pelancaran rasmi kumpulan sokongan pertama untuk penghidap MBC itu, Pfizer Malaysia turut menyumbang geran bernilai RM60,000 untuk membantu Pink InspirerS menyebarluas program khidmat bantuannya ke seluruh negara.

Maklumat lanjut mengenai Pink InspirerS boleh layari www.facebook.com/pgAdvancedBreastCancer.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.