

Kemajuan teknologi komunikasi digital bakal menawan bulan dengan pemasangan mudah alih rangkaian 4G pertama tahun depan.
Kalau selama ini bulan disifatkan satelit tunggal semula jadi bumi kini syarikat Vodafone di Jerman dan Nokia di Finland memanfaatkannya dengan membawa liputan Evolusi Jangka Panjang (LTE) ke angkasa lepas.
Nampaknya, impian rangkaian hotel terkenal dunia untuk membina hotel di ruang angkasa, di atas bulan mungkin “ada peluang”.
Rancangan pemasangan rangkaian 4G itu diumumkan pengeluar kereta Audi yang memaklumkan kerjasama pihaknya menyokong misi tersebut.
Selepas setengah abad angkasawan pertama Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) menjejakkan kaki di permukaan bulan, berita itu mungkin satu lagi sejarah kemajuan yang harus dibanggakan jika berjaya dicapai.
Menurut laporan USA Today, saintis dari syarikat penerokaan angkasa yang berpusat di Berlin, PT akan turut bekerja dalam persediaan menghantar peralatan ke bulan.
Isyarat 4G mampu menghantar video streaming definisi tinggi dari bulan ke pusat kemudahan kawalan misi di Berlin.
“Projek ini melibatkan pendekatan sangat inovatif terhadap pembangunan infrastruktur rangkaian mudah alih.
“Kami melantik Nokia sebagai rakan teknologi membangunkan rangkaian gred angkasa terdiri daripada peranti kecil kurang daripada sekilogram,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Vodafone, Hannes Ametsreiter.
Sementara perbincangan melawat planet Marikh masih dalam senarai pelancongan angkasa, syarikat teknologi komunikasi dan kejuruteraan automobil seperti Audi sudah memasang pelan terhadap bulan.