
Minuman teh berperasa buah semakin terkenal dalam kalangan pengguna, khususnya peminat teh dengan kelainan cita rasa.Perasa buah-buahan memberi rasa kemanisan di hujung lidah dan bau buah-buahan yang menenangkan.
Tetapi tahukah anda ia bukanlah seindah rasanya kerana berpotensi merosakkan gigi?
Pakar gigi memberi amaran, jumlah asid dalam teh berperasa buah mampu menghakis gigi, merosakkan enamel dan meningkatkan risiko “filling” atau “crowning” gigi.
Lebih mengejutkan, pakar turut memberi amaran terhadap amalan menggunakan potongan buah lemon dalam secawan air panas yang mengandungi 6 kali lebih banyak asid sitrik, menyebabkan hakisan lebih buruk.

Menurut Institut Pergigian King’s College London, minuman berasid iaitu teh berperasa buah yang diambil 2 kali sehari boleh menyebabkan 11 kali lebih banyak hakisan gigi.
Sebenarnya, asid semulajadi buah berpotensi menghakis dan merosakkan gigi lebih cepat apabila dipanaskan dalam air panas, kata saintis kolej tersebut.
Bagaimanapun, anda ada pilihan lain, iaitu teh bunga rosehip atau buah beri yang lebih selamat, kadar risikonya lebih rendah terhadap gigi.
Ketua penyelidik, Dr Saoirse O’Toole akui kajiannya membuktikan minuman teh berasas buah agak popular dan mempunyai kuasa hakisan tinggi.
“Sekitar 300 orang kami rawat dengan masalah hakisan gigi mempunyai tabiat minum air bersama lemon, halia atau perasa buah beri.
“Ramai memilih minum air panas bersama hirisan buah lemon setiap pagi selepas bangun tidur.
“Masalah dengan air panas ialah habanya boleh meningkatkan interaksi kimia dengan gigi dan menyebabkan masalah yang membawa kepada kerosakan,” katanya.
Penyelidik itu juga turut memberi amaran bagi minuman seperti “smoothie” buah, kordial buah dan kerepek garam dan cuka mengandungi bahan kimia boleh memudaratkan kesihatan gigi.