

Gambar tersebut dirakam jurufoto, Claudio Sieber sebagai pendedahan gaya hidup bebas masyarakat etnik Bajau di laut terbuka itu.
Etnik Bajau Laut yang juga dikenali Pala’u adalah kumpulan manusia “nomad laut”, “gipsi laut” dan komuniti yang hidup dengan perahu dan mengamalkan cara hidup berpindah-randah.

Menurut laporan Utusan Online, komuniti ini tinggal di kawasan perairan Sabah terutama di daerah Semporna seperti di perkampungan air Bangau-Bangau, Labuan Haji (Pulau Bum Bum), Pulau Gusungan dan Pulau Mabul, Taman Marin Tun Sakaran selain sebahagian lain yang menetap di dalam bot di sekitar perairan daerah tersebut.
Imej yang dikongsi oleh jurufoto dari Switzerland ini pula mendekatkan lagi dunia masyarakat ini kepada kita.

“Beberapa kanak-kanak menangkap ikan di atas perahu panjang yang sempit.”
“Rumah perahu yang menunjukkan sepasang suami isteri di 2 penghujung, seorang berehat dan seorang membuat kerja.”
“Rumah perahu yang tersadai di atas laut dengan beberapa perahu panjang sempit yang dijadikan mod pengangkutan.”
“Rumah pondok yang dibina menggunakan kayu, dicacak di atas air.”
Ia antara gambar-gambar yang dikongsi jurufoto Switzerland itu menunjukkan survival komuniti Bajau Laut yang dilihat ketinggalan dalam arus permodenan.
Daripada hakikat sebenar berada di sekolah, belajar dan mula mengenali dunia sebenar, kanak-kanak ini dilihat diajar memancing ikan, sotong dan udang daripada perahu buatan unik.
Kanak-kanak ini menghabiskan kebanyakan masa di laut, mabuk laut, jauh sekali, mungkin mabuk darat jika berada di atas tanah.

Menurut laporan jurufoto itu, komuniti etnik ini begitu rapat dengan pergerakan laut sehingga menggunakannya sebagai pengukur masa, musim dan tempoh sesuatu waktu.
Sieber juga menambah, kanak-kanak ini mampu menyelam sehingga kedalaman 20 meter tanpa sebarang peralatan moden.
Dia sekaligus menyimpul etnik ini sebagai milik laut.
“Kebanyakan orang Bajau Laut ini tidak mempunyai kerakyatan jadi sememangnya tiada hak untuk tinggal di atas daratan atau menghantar anak ke sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan.
“Bagi mereka, laut adalah segalanya. Ia juga kehidupan yang dikekalkan sejak turun-temurun seperti mana yang dibimbing nenek moyang mereka. Mereka hidup di sini atas pilihan sendiri. Mereka mahu hidup di tengah-tengah laut yang tidak dikenali sesiapa,” kata Sieber.
Apa yang pasti, sama seperti etnik tribal di daratan di luar negara yang masih berpegang untuk mengekalkan tradisi habitat, Bajau juga tidak kurang.