

Zaza Ogaz membaiki pangsapuri kosong miliknya dengan menempatkan katil dan perabot untuk ditawarkan secara percuma kepada keluarga yang terpaksa menyewa bilik di kawasan kejiranan sementara anak-anak mereka menjalani rawatan kemoterapi dan rawatan kesihatan lain.
“Idea itu tercetus selepas saya melihat begitu ramai ibu bapa menyewa pangsapuri dan katil untuk pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan kemeoterapi di hospital berdekatan.
Saya kasihan kerana mereka bukan sahaja terpaksa melalui detik sukar menahan derita sakit malah terpaksa membelanjakan sejumlah wang besar, yang mana boleh dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan lain,” kata Ogaz seperti dipetik AFP.
Ekoran itu, Ogaz memutuskan untuk menyumbang secara percuma dan enggan menerima sebarang sumbangan berbentuk derma.
Lelaki berusia 50 tahun itu menyediakan kediaman yang lengkap dan makanan serta peralatan hiburan seperti alat permainan untuk penghuni menggunakan wang hasil pendapatan kedai dagingnya.
Dia menyediakan khidmat itu sejak 3 tahun lalu sebagai menghormati ibu dan mertuanya yang sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Di ruang tamu pangsapuri berkenaan, terdapat beberapa skuter mainan kanak-kanak, turut kelihatan kerusi roda untuk kegunaan pesakit yang tidak mampu berjalan.
Di dalam bilik tidur yang dihiasi kartun Winnie the Pooh dan Minnie Mouse pula, sebilangan kanak-kanak menonton televisyen.
Pangsapuri milik Ogaz ini dikatakan diduduki ramai keluarga dan kanak-kanak dari hampir semua bahagian Mesir.
“Apabila saya ke hospital berdekatan, Ogaz mengalu-alukan keluarga saya dengan menawarkan tempat tinggal. Saya memberitahunya, saya tidak akan bergerak keluar sehingga rawatan anak selesai,” kata seorang ibu, Om Israa.
“Dia melayan anak-anak di sini dengan baik sekali, dia membeli hadiah dan bermain bersama-sama mereka,” jelasnya.