Bollywood sahut cabaran tuala wanita

Bollywood sahut cabaran tuala wanita

Selain Akshay Kumar, pelakon Amir Khan, Amitabh Bachan, Alia Bhatt, Deepika Padukone, Anil Kapoor dan ramai lagi termasuk orang awam memuatnaik gambar memegang tuala wanita di laman sosial.

padman
fmt-ohsem-inside-article1Ia bermula dengan pelakon dan suami kepada aktres Twinkle Kanna iaitu Akshay Kanna berkongsi gambar memegang tuala wanita (sanitary pad).

“Terima kasih kerana menerima cabaran #PadmanChallenge,” kata lelaki bernama Arunachalam Muruganantham dalam tweetnya kepada pelakon Akshay Kumar.

Sebenarnya Muruganantham adalah lelaki memulakan cabaran itu dengan berkongsi status di Twitter, “Ya, saya sedang memegang tuala wanita di tangan dan tiada apa yang harus dimalukan. Ia proses semulajadi!”

Dia kemudian mencabar Akshay Kumar, pelakon Sonam Kapoor dan Radhika Apte untuk sahut cabaran itu.

Namun kemunculan Akshay Kumar dengan tuala wanita membuatkan cabaran tersebut berkembang luas sehingga mencapai pelakon seperti Amir Khan, Amitabh Bachan, Alia Bhatt, Deepika Padukone, Anil Kapoor, Ayusmann Khurrana dan ramai lagi termasuk orang awam dan pemain di luar lingkungan industri hiburan.

twit
Jadi, persoalannya, siapakah Muruganantham dan mengapa cabarannya tayang tuala wanita diambil serius oleh Bollywood?

Muruganantham, seorang lelaki biasa dari pekan kecil di Coimbatore, Tamil Nadu, India. Dia pernah dipandang rendah, didakwa hilang waras, gila malah ditakuti kerana mengejar wanita untuk mendapatkan tuala wanita sudah digunakan.

“Saya mendapat tahu mengenai cabaran wanita hadapi setiap bulan menerusi isteri saya. Lebih buruk, dia terpaksa menggunakan kain buruk dan membasuhnya, menyidai tanpa pengetahuan sesiapa.

“Dia enggan kongsi pengalaman melalui proses haid walaupun dengan saya. Saya kasihani mereka khususnya apabila tuala wanita dijual terlalu mahal sehingga terpaksa guna kain buruk,” kata lelaki ini dalam satu wawancara.

Memandangnya sebagai cabaran, Murugananthan cuba menghasilkan sendiri mesin menghasilkan tuala wanita berkos rendah.

twit1Tetapi sebelum itu dia mahu ketahui proses fizikal dalam diri wanita ketika haid.

“Saya mendekati isteri saya, adik beradik wanita, malah pelajar kolej wanita. Saya mahu lihat bagaimana tuala komersial ini membantu mereka daripada kebocoran dan menyerap haid sehingga tempoh tertentu.

“Selepas beberapa tahun berusaha memujuk, saya dapat mengumpul tuala wanita yang dipakai,” katanya.

Muruganantham sendiri pernah mencuba memakai tuala wanita. Dia memasang sebuah tiub berisi air berwarna merah dalam seluar dalam, merenjiskan pada napkin tiap kali menekan butang pada tiub.

Malangnya, ia tidak berhasil seperti proses semulajadi dan dia diketawakan selepas seluar basah dengan air berwarna itu.

“Saya dihalau ibu sendiri kerana takut saya menyembah ‘syaitan’. Isteri saya meninggalkan saya,” kenangnya.

Sehinggalah suatu hari dia berjaya menghasilkan mesin memproses tuala wanita pada kos rendah.

“Saya tidak mahu remaja perempuan meninggalkan sekolah, rasa tersisih atau dipulaukan oleh komuniti kerana masalah ini. Ketiadaan sokongan bukan sahaja menyisihkan mereka tetapi memberi kesan sosial negatif pada diri sendiri,” kata lelaki ini.

Selepas kejayaannya didedahkan, Muruganantham gunakan peluang itu untuk mencapai wanita miskin dan di kawasan pedalaman untuk mengusahakan sendiri mesin menghasilkan tuala wanita murah.

Dan kisah itu dirakam dalam filem Bollywood terkini, “Padman” oleh Twinkle Kanna, dan watak Muruganantham dimainkan oleh suaminya sendiri, Akshay Kumar.

Kini, sebagai mempromosi filem dan dalam masa sama meningkatkan kesedaran serta memecahkan “taboo”, cabaran “Padman” pun dimulakan.

Masing-masing, bermula dengan pelakon “Padman” dan krew filem merakam dan berkongsi gambar mereka memegang tuala wanita. Ia berkembang luas sehingga mencapai orang awam termasuk lelaki.

Menarik lagi, cabaran “Padman” ini dikatakan sepopular cabaran “Ice Bucket” yang sangat terkenal di laman sosial.

Padman filem drama-komedi biografi mengetengahkan isu kemasyarakatan. Ia mengisahkan usaha lelaki yang menghasilkan tuala wanita kos rendah untuk mendidik dan menggalakkan wanita di perkampungan menggunakannya untuk rasa selesa dan selamat.

Filem lakonan Akshay Kumar, Sonam Kapoor, Radhika Apte, Sudhir Pandey dan Amitabh Bachchan dijangka ditayang 9 Februari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.