

Satu video yang dimuatnaik di laman Facebook Hopital Pakar Salam Senawang 2 hari lalu menunjukkan beberapa orang kakitangan termasuk doktor menari untuk lagu Hindustan menarik perhatian netizen.
Kira-kira 50 kakitangan hospital itu menari sakan dalam babak-babak singkat, memuatkan 3 lagu yang disatukan.
Menurut Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Korporat hospital itu, Jagdish Kaur Samsaysui, ia sebenarnya klip video lama, dikongsi semula 2 hari lalu di dalam Facebook milik hospital.
“Saya tidak menyangka ia akan tersebar semula walaupun pernah tersebar di laman sosial 2 tahun lalu.
“Namun capaian kali ini lebih besar kerana dalam hanya 1 setengah hari, ia berjaya menggandakan jumlah ‘like’ Facebook daripada 4,000 kepada lebih 8,500.
“Ia memang tidak disangka tetapi respon diperoleh sangat di luar jangkaan,” katanya ketika dihubungi FMT Ohsem pagi tadi.

Jagdish akui, video itu dibuat hasil ideanya mengambil budaya tari-menari kaum Punjabi menjelang majlis perkahwinan.
“Saya diarah tampil dengan idea untuk majlis makan malam. Jadi untuk beri kejutan kepada pihak pengurusan hospital, kami tampil dengan video ini. Ia dimainkan pada majlis makan malam 2016 yang bertemakan Bollywood,” katanya mengimbas kenangan semasa video tersebut dibikin.
Tambahnya lagi, terang beliau, idea ini terdiri daripada semua lapisan kerjaya, doktor, ketua pegawai kewangan, pegawai perunding, jururawat dan lain-lain.
“Awalnya semua orang terpinga-pinga kerana ia dirakam secara singkat, babak demi babak tetapi kami sendiri terkejut melihat hasil akhirnya. Lebih mengujakan, apabila mendapat respons positif daripada rakyat Malaysia yang sebenarnya menerima kepelbagaian ini,” jelasnya.
Sehingga 2.00 petang tadi, video ini sudah dikongsi 14,000 kali dan ditonton lebih 793,000 kali.
Ramai netizen memuji usaha pihak hospital membikin video itu dalam pelbagai latar, bilik wad, teater pembedahan, pejabat kewangan, tingkat terbuka, koridor dan lokasi lain.
Koreografi tarian juga dikatakan sangat profesional serta penglibatan pelbagai bangsa diangkat sebagai semangat kekitaan yang sebenar.
