
Mungkin masih ada yang tidak mengenali individu bernama Datuk Ramli Ibrahim, tetapi di negara India beliau umpama ikon terkenal dalam kalangan orang seni khususnya seni tarian Odissi .Bagi mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada jasa dan perjalanan seni beliau dalam bidang tarian klasikal India, Ramli baru-baru ini dinamakan penerima anugerah berprestij kebangsaan India, anugerah Padma Shri.
Beliau salah seorang daripada 85 penerima anugerah Padma secara keseluruhan dan daripada 15 penerima anugerah luar negara bagi tahun ini.
FMT Ohsem juga cuba menghubungi Ramli Ibrahim bagi mendapatkan reaksi beliau selain memastikan sama ada beliau menjadi warga Malaysia pertama dihargai dengan anugerah berprestij itu.
Ramli lulusan kejuruteraan dari University of Western Australia menunjukkan minat dan bakatnya terhadap tarian klasik sejak muda ketika sedang mengikuti pengajian di universiti.
Biarpun seni tari klassik India menjadi sebahagian daripada dirinya itu sering melanda kontroversi, namun pada usianya yang kini mencecah 65 tahun, Ramli meneruskan legasinya dengan mengabdikan diri kepada tarian Odissi ini.
Anak kelahiran Kajang ini juga seorang penari tarian ballet, moden dan klasik India serta pereka tari yang berbakat juga pernah mendapat pengiktirafan tertinggi Akademi Kebangsaan Muzik, Tarian dan Drama India menerusi Anugerah Akademi Sangeet Natak 2011.
Lebih bermakna lagi, anugerah itu disampaikan sendiri oleh Presiden India, Pranab Kumar Mukerjee di Delhi.
Setiap tahun, India menawarkan anugerah Padma yang terdiri daripada anugerah Padma Vibhushan, Padma Bhushan dan Padma Shri untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada seseorang individu terhadap jasa dan kebaikan mereka kepada India dan bidang berkaitan India.
Ia meliputi bidang disiplin seperti seni, kerja sosial, perhubungan awam, sains dan kejuruteraan, perdagangan dan industri, perubatan dan pendidikan, sukan, perkhidmatan awam, dan sebagainya.
“Padma Vibhushan” adalah anugerah tertinggi diikuti “Padma Bhushan” dan “Padma Shri”.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri India, anugerah ini dianugerahkan oleh Presiden India pada majlis upacara diadakan di Rashtrapati Bhawan lazimnya sekitar bulan Mac atau April setiap tahun.
“Tahun ini Presiden India meluluskan 85 Anugerah Padma terdiri daripada 3 Padma Vibhushan, 9 Padma Bhushan dan 73 Padma Shri Awards.
“14 daripada penerima anugerah itu adalah wanita dan senarai itu juga termasuk 16 orang dari kategori warga asing dan 3 penerima ‘posthumous’ (sudah meninggal dunia),” petik kenyataan itu.
Populasi keseluruhan penduduk India adalah 1.324 bilion orang dan kurang daripada 100 orang dianugerahkan “Padma” setiap tahun.