Lelaki akui lawat masa depan, tahun 6000

Lelaki akui lawat masa depan, tahun 6000

Lelaki itu menyatakan wujud 'teknologi' dikendalikan menerusi program rahsia untuk menghantar manusia mengembara waktu.

Lelaki-akui-lawat-masa-depan-1
fmt-ohsem-inside-article1Anda suka membaca laporan dan pendedahan berunsur sains fiksyen? Jika ya, baru-baru ini seorang lelaki yang enggan dikenali mendedahkan dia menjadi pengembara masa depan, melawat tahun 6000.

Lelaki itu menunjukkan sekeping gambar kelihatan rosak sebagai bukti dia berada di sebuah bandar raya pada tahun yang dinyatakannya itu.

Malangnya gambar itu sangat kabur sama seperti lukisan cat air Monet, dikatakan pecah dan rosak ketika perjalanan masa berlaku.

Dia membuat pendedahan itu menerusi temubual rakaman video seorang wartawan dengan wajahnya yang dikaburkan di lokasi yang tidak dinyatakan.

Menurut laporan Daily Mirror, lelaki itu menyatakan wujud ‘teknologi’ dikendalikan menerusi program rahsia untuk menghantar manusia mengembara waktu.

Jelasnya, program itu dilakukan pada 1990an lagi.

“Tentu ‘mereka’ tidak mahu saya dedahkan ini… Kemajuan ‘mereka’ dalam bidang perubatan, kerajaan dan teknologi baharu akan menjadikan kehidupan moden seolah-olah ‘primitif’. Manusia hidup dengan damai di bawah pemerintahan yang baik oleh ‘mereka’,” katanya dalam video itu.

Siapakah mereka? Adakah manusia, robot atau makhluk asing tidak dinyatakan dengan jelas membuatkan netizen berteka-teki.

Lelaki itu juga menegaskan dia tidak menipu apatah lagi memberi maklumat palsu namun akui ia sememangnya fakta yang sukar dipercayai termasuk oleh dirinya sendiri yang melakukan pengembaraan itu.

“Saya tahu ramai anggap cerita saya sangat sukar untuk dipercayai dan saya tidak salahkan anda dan jika saya menonton seseorang mendakwa perkara sama, saya sendiri kemungkinan besar tidak percayakan mereka.

“Saya tidak berniat menipu sesiapa pun, saya hanya ingin menyebarkan mesej mengenai masa depan manusia dan arah tuju dunia.

Tambahan itu, lelaki itu juga mendedahkan rakannya yang turut mengembara bersama-samanya tidak dapat pulang dan terpaksa ditinggalkan.

“Saya tahu dia berada di tempat baik. Sedih apabila kita cuba untuk balik, tetapi gagal.”

Dia juga menyatakan teknologi masa depan membolehkan manusia mengecil maka ruang tidak akan lagi menjadi masalah.

Sama ada anda percaya pada kata-kata lelaki ini atau tidak, dia memberitahu rahsia pengembaraan masa akan dibocorkan kepada pengetahuan umum menjelang 2028.

Hmmm… mari kita tunggu dan lihat!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.