

Baru-baru ini, Fadzli, 42, memukau penonton pertandingan Anugerah Nasyid 2017 (AN17) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu dengan menyanyikan lagu Syahadah dalam bahasa Tamil.
Ternyata vokal mantap dan unik itu terbukti memukau penonton apabila menang sebagai Juara Anugerah Nasyid 2017 serta kategori Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.
Menurut laporan Harian Metro, Fadzli mengikuti kelas bahasa Tamil khusus untuk menyanyikan lagu ciptaannya sendiri serta lirik Ito Lara itu.
“Saya belajar bahasa Tamil bagi menghayati lirik lagu ini. Saya pernah buat persembahan di India menyampaikan lagu dalam bahasa Tamil.
“Sebenarnya, saya baru sahaja menyiapkan 7 lagu Tamil yang akan dipasarkan tidak lama lagi,” katanya, petik akhbar itu.
Menarik lagi, dia juga pernah dijemput ke India membuat persembahan di hadapan tetamu kenamaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Selain itu, dia juga menyampaikan lagu pada pelancaran Little India di Brickfields, Kuala Lumpur yang dianggapnya satu pencapaian membanggakan.
Sebenarnya, Fadzli dahulu berpeluang berkenalan dengan seorang lelaki dari India yang meminati muzik genre nasyid lalu beliau diperkenalkan dengan guru bahasa Tamil.
Selepas mengikuti kelas itu, dia mencipta album bahasa Tamil yang bakal menemui peminatnya tidak lama lagi.
“Muzik dirakam di sana dan tugas saya hanya menyanyi. Kalau ikutkan perancangan, ia dipasarkan di India tapi tengoklah situasi seterusnya nanti.
“Saya cuba menyanyi dalam bahasa Tamil kerana ia satu cabaran. Lagu yang dinyanyikan pula bersifat positif,” katanya lagi kepada akhbar itu.