
Wanita persis model, Sri Wahyumi Maria Manalip dikatakan mengunjungi Amerika Syarikat (AS) dari 20 Oktober sehingga 13 November 2017 dan turut berkesempatan berjumpa Presiden Donald Trump di White House.
Bagaimanapun kunjungan tersebut dikatakan tidak mendapat kebenaran pihak kementerian dan peraturan menyatakan ketua daerah atau timbalannya yang melakukan perjalanan ke luar negara tanpa izin boleh dikenakan tindakan pemberhentian sementara selama tempoh 3 bulan.
Laporan detik.news menyatakan Sri Wahyumi melanggar Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2014 mengenai Pemerintahan Daerah khususnya Pasal 76.
Manakala pegawai jelitawan itu pula menjelaskan perjalanan ke AS atas urusan peribadi dan tindakan yang diambil terhadapnya tidak adil.
“Saya tidak membawa staf atau menggunakan dana daripada bajet pejabat daerah. Pasport yang saya gunakan pun adalah pasport orang awam,” ujar Sri Wahyumi.
Dalam satu lagi kenyataan, Sri Wahyumi yang mendakwa dirinya dizalimi, akui dijemput oleh Trump ke AS bagi mengikuti satu program antarabangsa.
Apapun, Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tjahjo Kumolo bertegas dengan keputusan menggantung tugas Sri Wahyumi yang turut direkod melakukan 2 kali lawatan ke AS dalam masa 3 bulan.