
Terdapat pelbagai jenis orang dengan bermacam citarasa dan pilihan. Ia termasuk citarasa minuman, khususnya minuman panas seperti kopi dan teh.“Saya ‘coffee-person’.”
“Saya pula ‘tea-person’.”
Demikian kenyataan yang lazim diucapkan seseorang semasa menjelaskan identiti minuman mereka.
FMT Ohsem ada berita baik untuk penggemar teh, kami ingin menyenarai beberapa jenis teh yang bukan sahaja enak dijadikan minum pagi/petang, malah kaya dengan pelbagai manfaat kesihatan.
Antara manfaat tersebut ialah keupayaan teh tertentu dalam menurunkan berat badan dan membakar lemak perut. Apakah jenis teh tersebut, mari kita lihat.
1. Teh hijau
Teh hijau mendahului carta sebagai teh paling efektif untuk menurunkan berat badan dan membakar lemak. Kandungan antioksidan katekin di dalam daun teh hijau mampu meningkatkan metabolisme tubuh sekaligus mempercepat pembakaran lemak. Apapun, jangan terlebih minum teh hijau ini kerana ia juga boleh menggangu penyerapan zat besi dalam badan.
2. Teh hitam
Teh hitam adalah teh paling biasa dalam kalangan penggemar minuman ini. Beberapa kajian mendapati teh hitam kosong efektif dalam menurunkan berat badan. Ia juga membantu mengurangkan ukur lilit pinggang berbanding minuman berkafein lain. Ini kerana kandungan flavonoid tinggi pada teh hitam memberikan kesan penurunan berat badan.
3. Teh oolong
Teh oolong boleh diperoleh di kedai-kedai ubat dan herba Cina selain beberapa restoran Cina. Ia membantu meningkatkan penurunan berat badan dengan mempercepat metabolisme tubuh dan proses pembakaran lemak.
4. Teh putih
Teh putih adalah sejenis teh diolah dari daun teh muda. Rasanya sedikit manis tetapi bermanfaat untuk kesihatan mulut dan membunuh sel kanser. Pada masa sama, ia juga membantu menurunkan berat badan dan lemak tubuh. Ini kerana teh putih mengandungi jumlah katekin yang setanding teh hijau.
5. Teh herba
Teh herba tidak mengandungi kafein dan bukan diperbuat dari daun pohon teh (Camellia sinensis). Sebaliknya menggunakan daun, kelopak bunga, batang rempah dan juga buah kering dari tumbuhan. Teh herba yang popular termasuk teh rooibos, teh halia, teh rosehip dan teh bunga raya. Walaupun ramuan teh ini berbeza tetapi ia membantu mengurangkan berat badan dan lemak perut.