Tebus nazar, lelaki jelajah 320 masjid seluruh negara dengan basikal

Tebus nazar, lelaki jelajah 320 masjid seluruh negara dengan basikal

Zairi memuat naik perkembangan penjelajahnya di laman sosial dan langsung tidak menduga tindakannya menarik perhatian rakyat Malaysia untuk turut serta memberikan sumbangan.

Zairi-Bin-Zainal
fmt-ohsem-inside-article1Seorang lelaki tekad menjelajah masjid dan surau di seluruh pelusuk negara dengan berbasikal sebagai menunaikan nazar yang dibuatnya pada April lalu.

Bermula 6 Disember lalu Zairi Zainal, sudah menjelajah 72 daripada 320 masjid dan surau di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Johor sekali gus menghulurkan derma.

“Sebelum ini saya berdepan pelbagai kesukaran hidup termasuk menganggur. Jadi, saya bernazar sekiranya 30% kehidupan saya ini berubah, saya akan menderma.

“Tetapi, pada masa sama saya juga berminat untuk melancong, jadi saya gabungkan konsep melancong sambil beramal,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, beliau memilih menggembara menggunakan basikal atas faktor kos berbanding menjelajah menggunakan motosikal atau kereta.

Menurutnya lagi, menjelajah menggunakan basikal lebih mencabar, pada masa sama lebih santai kerana sewaktu kayuhan, beliau dapat menikmati keindahan alam semula jadi.

“Jika hanya mahu menderma, saya boleh sahaja cari surau di sebelah rumah saya tetapi ia bukan sekadar soal menderma, ia turut melibatkan perjalanan dan kemahuan melihat ciptaan indah tuhan.

“Sudah lama saya pasang niat untuk melancong dalam negara. Saya cabar diri menjelalah menggunakan basikal,” katanya.

Ditanya sebab dia memilih 320 surau dan masjid, Zairi berkata ia berdasarkan umurnya yang sudah mencecah usia 32 tahun.

Dia juga mahu menambah bilangan masjid dan surau pada masa hadapan sekiranya dipanjangkan usia.

 

Berbasikal bukan mudah

Zairi akui proses berjelalah ke seluruh negara menggunakan basikal bukan mudah, beberapa halangan yang perlu dilalui memandangkan beliau bukanlah atlet atau bersedia secara fizikal.

“Selepas 2 hari berkayuh, lutut saya sakit dan saya perlukan rehat. Setelah itu, saya terpaksa berehat lagi 2 hari kerana melecet di bahagian kangkang,” katanya.

Beliau memuat naik perkembangan penjelajahnya di laman sosial dan langsung tidak menduga tindakannya menarik perhatian rakyat Malaysia untuk turut serta memberikan sumbangan.

“Saya tidak meminta sebarang derma dari orang ramai, saya bernazar untuk memberikan derma dan ada hamba Allah yang ingin turut menghulurkan bantuan. Demi Allah saya tidak minta derma,” katanya.

Zairi berkata, berdasarkan derma dan sumbangan orang ramai, beliau akan mengisi kekurangan yang ada di setiap surau dan masjid sepanjang penjelajahannya.

“Jika ada sebarang kekurangan di surau dan masjid tertentu seperti kekurangan al-Quran, maka saya akan beli dan letakkan.

“Jika karpet di surau kotor, saya akan belikan vakum. Jika ada bil-bil elektrik yang masih belum dibayar, saya akan tolong bayarkan bagi pihak surau dan masjid,” katanya.

Zairi menjelaskan, beliau tidak menjelajah secara berseorangan malah turut disertai rakannya yang menggunakan motosikal yangg membawa barangan keperluannya.

Selepas Johor, Zairi merancang untuk ke Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Perak dan menamatkan jelajahnya pada 10 Januari tahun depan di Selangor.

“Dari dulu saya berdoa supaya ditunjukkan jalan benar agar dapat memberikan motivasi kepada orang ramai, saya bersyukur Allah makbulkan doa saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.