‘Mahaguru’ pesan belajar yoga ikut cara tradisional

‘Mahaguru’ pesan belajar yoga ikut cara tradisional

Senaman yoga, yang pada asalnya diamalkan dalam ritual keagamaan di India mengalami evolusi kepada bentuk senaman untuk kelegaan badan dan minda.

hatha-yoga
fmt-ohsem-inside-article1Walaupun usianya sudah menjangkau 81 tahun, beliau tampak begitu cergas dan sihat.

Itulah yoga master Dr M. Raajamanikam yang sehingga kini masih mengamalkan Hatha yoga setiap hari selama 30 minit. Beliau yang menetap di Klang turut mengajarnya kepada beberapa pelajar terpilih.

Melihat keadaan bekas guru sekolah Tamil ini ternyata betapa besarnya manfaat yoga kepada mereka yang mengamalkannya. Dua bulan lepas, pertubuhan bukan kerajaan tempatan, Hindu Sevai Sangam menganugerahkan beliau gelaran “Mahaguru” di atas sumbangan beliau sejak 50 tahun dalam bidang yoga di Malaysia.

Gelaran “Mahaguru” hanya diberi kepada mereka yang berusia lebih 80 tahun dan mencipta nama sebagai yoga master yang berjaya.

Yoga adalah amalan purba India yang melibatkan senaman fizikal serta teknik bernafas, meditasi dan relaks bagi membolehkan pengamalnya memperoleh kesihatan fizikal dan mental.

Hatha yoga adalah bidang yoga yang paling sering diamalkan di seluruh dunia dan ia juga merujuk kepada senaman fizikal dikenali sebagai asana atau postur.

Kalangan rakyat Malaysia juga semakin menerima yoga yang bukan sahaja berpotensi mengekalkan kesihatan yang baik tetapi juga merawat penyakit kronik.

Kesedaran ini boleh dikatakan semakin meningkat apabila Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 11 Dis, 2014 mengisytiharkan 21 Jun sebagai Hari Yoga Antarabangsa.

Pihak berkuasa Arab Saudi dilaporkan turut memberi kebenaran untuk yoga diajar sebagai kegiatan sukan dan Hatha yoga adalah antara yang diajar di kelas-kelas yoga di Jeddah.

Kesedaran umum semakin meningkat

Menurut Raajamanikam yang juga Presiden Persatuan Kebangsaan Malaysia Pranava Yoga, senaman yoga harus diamalkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, budaya dan agama sebab senaman itu adalah satu saluran komunikasi yang merentasi semua peringkat lapisan masyarakat.

Yoga, yang pada asalnya diamalkan dalam ritual keagamaan di India mengalami evolusi kepada bentuk senaman untuk kelegaan badan dan minda.

“Senaman yoga membuka minda kita agar menjadi lebih jelas, tajam, fokus, peka dan kreatif,” kata ayah kepada 8 orang anak ini kepada Bernama selepas majlis yang diadakan untuk memberi penghormatan kepada beliau.

Majlis berkenaan berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ia dihadiri kira-kira 14 pengamal yoga itu bagi mengiktiraf pencapaian Raajamanikam yang menerima anugerah “Mahaguru” pada 12 Nov lepas.

Sihat daripada penyakit

Raajamanikam turut menarik perhatian terhadap isu penyakit tidak berjangkit (NCD) yang kerap dibangkitkan oleh Kementerian Kesihatan. Menurut kementerian itu, kira-kira 73% daripada jumlah kematian di Malaysia disebabkan NCD.

Beliau berkata angka berkenaan menunjukkan perkembangan yang membimbangkan dan mendakwa yoga dapat membantu mencegah atau mengurangkan kesan beberapa penyakit lazim. Beliau memberi contoh asma, sinus, sembelit, masalah perut malahan diabetes sekiranya diamalkan secara konsisten.

“Terapi Yoga mempunyai potensi sebagai perubatan alternatif kepada perubatan konvensional dalam mencegah NCD seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis melalui postur senaman yang betul.

“Ini sekaligus dapat mengurangkan beban hospital kerajaan yang perlu menampung begitu ramai pesakit yang menghidapi penyakit tidak berjangkit,” katanya.

Galak golongan muda jadi jurulatih yoga

Raajamanikam yang juga penerima ‘Anugerah Pencapaian Seumur Hidup’ Persatuan Sukan Yoga Malaysia berkata beliau mahu melihat lebih ramai golongan muda terutama belia India berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Beliau yang sebelum ini berjaya melahirkan ramai jurulatih yoga dalam kalangan belia India berkata Malaysia memerlukan lebih ramai pakar untuk mendidik masyarakat konsep sebenar yoga.

“Boleh dikatakan, ramai yang ingin menceburi bidang ini tetapi tidak semua tahu apakah yoga yang sebenar.

“Pada masa ini, ada antara pengamal yoga tidak mengajar teknik senaman betul sehingga mengakibatkan kecederaan kepada anak buah mereka.

“Justeru, ramai yang mengadu tidak merasai ‘hasil’ yang disebut-sebutkan. Jadi, masalahnya berpunca daripada ketiadaan pakar,” katanya.

Pengamal Hatha yoga itu berkata kaum belia pada masa ini lebih cenderung ke gimnasium untuk kekal sihat dan membina otot berbanding mengikuti kelas yoga.

“Tetapi berapa ramai yang benar-benar tahu mereka sebenarnya boleh memperoleh manfaat fizikal serta mental untuk tubuh badan serta minda dengan mengamalkan yoga,” kata beliau.

Beliau berkata persatuannya kini menganjurkan persidangan yoga setiap tahun untuk memberi kesedaran mengenai kebaikan yoga asli.

Dalam pada itu, penulis yang juga anggota Jawatankuasa Persatuan Malaysia Pranava Yoga Kebangsaan bersetuju hanya guru terlatih yang dapat menyalurkan pengetahuan mengenai yoga sebenar kepada pelajar.

Penulis yang belajar yoga selama tujuh tahun kini mengendalikan kelas yoga di SJKT Vivekananda setiap Ahad juga sedar kini muncul teknik baru yoga yang lebih menjurus kepada variasi seakan gimnastik dan sukan.

Beliau lalu menasihatkan mereka yang berhasrat mahu mengamalkan yoga yang sebenar supaya menyertai kelas yang menawarkan senaman yoga tradisional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.