
Banyak penyelidikan kesihatan membuktikan kebaikan serta manfaat amalan berpuasa.
Terbaru, satu penemuan mendedahkan amalan berpuasa melambatkan proses penuaan termasuk kewujudan garis kedutan pada wajah.
Pengarang bersama sebuah jurnal gerontologi, Dr Rozalyn Anderson berkata demikian ekoran penemuan kajian saintifik yang dikaitkan dengan pengambilan kalori.
Katanya merujuk kepada kajian yang dijalankan awal tahun ini, proses penuaan seorang dewasa dilambatkan sebanyak 0.6 tahun apabila 25% daripada pengambilan kadar kalori harian dikurangkan.
Pengambilan kadar kaloria harian yang dimaksudkan adalah purata 1,875 kalori bagi lelaki, dan 1,500 bagi wanita untuk tempoh 24 jam.
Penemuan itu diterbitkan dalam The Journals of Gerontology, Series A: Biological Sciences and Medical Sciences suntingan Dr Anderson.
“Pengambilan kalori terkawal membuktikan kelewatan penuaan dalam semua spesis secara jelas, ini termasuk manusia,” katanya.
Jurnal terbaru beliau memberi perhatian kepada diet sihat dan kaitannya kepada penuaan biologi.
“Satu fakta hebat mengenai penuaan ialah ia boleh diubahsuai, hanya dengan pengambilan kalori,” tambahnya.
Terdapat juga kebimbangan terhadap kesan berbalik diet tertentu yang dikhuatiri boleh memperlahankan kadar metabolisme.
Para pengkritik percaya, apabila kalori dikawal, ia boleh menyebabkan seseorang rasa letih, kekurangan nutrisi dan memberi kesan buruk kepada kesuburan wanita.
Namun, kajian-kajian terbaru membuktikan diet sihat ini lebih bermanfaat misalnya dalam mengurangkan risiko penyakit kronik termasuk kanser, jantung dan diabetes.
Menurut Dr Anderson, berpuasa di pertengahan usia membantu memanjangkan jangka hayat selain melambatkan penuaan.
Kawalan terhadap pengambilan makanan, diet yang baik bukan sahaja menentang penyakit tetapi memberi kesihatan lebih baik sepanjang usia.
“Bila anda mengawal kalori, ia melambatkan penuaan, mungkin kerana tenaga yang digunakan oleh tubuh badan berbeza.
“Dalam kajian membabitkan 20 ekor monyet, didapati, pengurangan 20% makanan memanjangkan 9 tahun daripada hayat mereka,” tambahnya.
Pilihan di tangan anda, mahu makan lebih atau terkawal.