

Ahad lalu saya berpeluang meluangkan masa berbincang mengenai masalah ini dengan seorang doktor. Beliau sarankan mengambil ujian darah dan pemeriksaan kesihatan. Katanya kenaikan berat badan, apatah lagi selari dengan kenaikan usia dipengaruhi pelbagai faktor walaupun anda mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam.
Dalam situasi begini, kita kena amalkan diet lebih ketat dan senaman yang berkali ganda, maknanya apa yang saya lakukan sekarang tidak mencukupi.
Beliau menyenarai beberapa faktor, selain itu FMT Ohsem melayari beberapa laman web perubatan dan kesihatan untuk mengenal pasti faktor-faktor tersebut. Berikut adalah sebab berat badan anda naik tanpa sebab membabitkan diet dan senaman.
1. Peningkatan usia
Penuaan umpama pakej untuk anda berdepan dengan penyakit, sakit-sakit sendi dan tulang, kerabunan penglihatan, uban pada rambut, kedutan pada kulit dan tidak ketinggalan kenaikan berat badan.
“Kadar metabolisme akan turun selari dengan usia anda,” petik kata pengarah program Pengurusan Berat di UC San Diego, Dr. Eduardo Grunvald. “Kemuncak kadar metabolisme seseorang adalah pada usia lewat 20an atu mungkin awal 30an. Selepas itu, kadarnya menurun.” Jadi kalau usia anda sudah melewati pertengahan 30an lupakan sahaja aktiviti lepak lewat makan di restoran mamak, pekena roti canai dan teh tarik atau tempah piza untuk menonton rancangan kegemaran mahupun bola sepak. Tetapi ia masih boleh dikendalikan dengan mengawal diet dan senaman cuma kena lebih ketat.
2. Otot anda hilang ketumpatan seiring usia
Banyak pula elemen yang berkaitan usia, termasuk ketumpatan otot. “Apabila usia meningkat, jisim otot hilang pada kadar 1% setahun bermula usia 30an dan bertambah selepas 40an,” kata pengarah Pengurusan Berat dan Nutrisi di Pusat Perubatan Boston, Dr. Caroline Apovian.
Jadi kalau anda pilih makan amaun sama dengan usia 20an pada usia lewat 30an, jaga-jagalah dengan kenaikan berat.
3. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan sepatutnya berguna untuk kesihatan badan tetapi juga boleh memberi kesan sampingan membabitkan kenaikan berat badan. Lazimnya ia melibatkan perubatan psikotrofik seperti ubat anti psikotik digunakan untuk merawat penyakit skizofrenia. Selain itu ubat anti tekanan juga dikaitkan dengan kenaikan berat, kata Dr. Grunvald. Dalam situasi tertentu, rawatan tekanan darah, insulin yang digunakan untuk rawatan diabetes juga boleh meningkatkan berat badan.
4. Tak cukup tidur
Pasti ramai mahu mengaitkan diri mereka dengan faktor ini, termasuk saya. Kita semua tahu betapa perlunya tidur yang baik, sekitar 7 hingga 8 jam sehari. Namun ramai yang mengadu tidak dapat keselesaan ini. Percayalah, ia boleh sebabkan kenaikan berat!
“Apabila anda tidak cukup tidur, hormon lapar akan meningkat pada hari berikut dan kawalan impuls akan menurun. Tambahan pula, kekurangan tidur untuk tempoh lama akan menggangu sistem metabolisme dan menurunkan jisim otot,” terang Dr. Apovian. Bukan itu sahaja, kekurangan tidur boleh merangsang anda mencari snek tidak sihat, jadi tidurlah.
5. Hipotiroidisme
Pernahkan anda dengar perkataan ini? Hipotiroidisme ialah keadaan di mana wujud ketidakstabilan pada kelenjar tiroid sehingga menyebabkan fungsinya caca marba. Salah satu kesannya ialah kenaikan berat badan mendadak. Bukan sesuatu yang pernah kita jangkakan, tetapi ia boleh berlaku kepada sesiapa apatah lagi mereka yang ada sejarah keluarga. “Kenaikan yang tidak bersebab boleh berpunca daripada masalah hipotiroidisme. Terdapat pelbagai simptom lain seperti sembelit, sensitif dengan kesejukan, muka menjadi tembam, rasa lemah dan letih dan sebagainya,” kata Dr. Apovian. Kalau anda ada simptom ini segera berjumpa doktor.
6. Semua orang dalam keluarga anda berat
Pada kebanyakan masa, walau sekuat manapun nafsu kita, berat badan tetap meningkat naik. Dalam keadaan tersebut, lihat sahaja ahli keluarga anda. Jika ibu anda hadapi peningkatan berat selepas usia pertengahan atau lewat 20an, genetik akan mula memainkan peranannya yang sama. Jika ibu anda mengalami isu kenaikan selepas beranak, kemungkinan anda juga berdepan situasi sama. Walaupun bukan 100%, ia ada kebarangkalian tinggi, kata Dr. Grunvald.
7. Mutasi genetik yang sepsifik
Agak asing tetapi dalam keadaan tertentu mutasi genetik yang spesifik boleh menyebabkan kenaikan berat. Ia lebih ketara bagi kanak-kanak obes sebelum mencapai usia 6 tahun. Jadi jangan risau kalau anak anda kurus selagi mereka sihat dan mempunyai ketinggian sepatutnya.
Semua faktor dinyatakan antara faktor tersembunyi kenaikan berat badan yang boleh berlaku di sebalik kawalan pemakanan dan senaman. Tetapi jangan jadikan ia alasan untuk tidak mengamalkan cara hidup sihat.
“Periksa kesihatan anda secara konsisten. Masih ada pelbagai cara untuk kekalkan gaya hidup sihat, jangan putus asa,” kata doktor saya.
Antara tip “segera” yang dikongsi oleh beliau ialah mulakan hari dengan teh hijau yang boleh membantu meningkatkan tahap metabolisme untuk hari tersebut.