
Tanggalkan kot, seluar dan lain-lain kain yang menutup badan anda di pintu masuk kerana sebuah restoran di Paris menyajikan hidangan klasik Perancis kepada pengunjung yang bogel sahaja.Terletak di pinggir jalan di barat daya Paris, restoran O’naturel menjadi restoran bogel pertama di ibu kota Perancis.
Pengunjung dipelawa tetapi harus mematuhi senarai peraturan termasuk tingkah laku ketika berada di dalam restoran itu dan syarat hanya remaja yang ditemani orang dewasa dibenarkan masuk.
Pakaian mesti ditinggalkan di bilik pakaian berserta kamera dan telefon bimbit.
Idea restoran ini diinspirasikan oleh 2 kembar yang merupakan bekas jurujual insurans, Mike dan Stephane Saada yang melihat potensi besar dalam perniagaan ini.
“Berbogel tidak lagi terhad pada musim panas,” kata Stephane.
Menurut laporan portal tempatan, banyak kawasan dibuka untuk pengunjung bogel pada musim panas, khususnya pantai dan tapak perkhemahan.
Tetapi bagi presiden Persekutuan Naturist Perancis, Yves Leclerc, beliau teruja dengan idea makan malam secara bogel yang tidak terhad pada musim panas sahaja.
“Kami berada di tengah-tengah Paris dan kami sedang makan secara bogel,” katanya sambil duduk di salah satu daripada 20 meja restoran.
“Ia seperti kami sedang bercuti, tetapi lebih baik. Saya perlu menanggalkan pakaian saya untuk ke sebuah restoran,” katanya sambil akui ia idea menarik.
Walaupun idea bogel terus menjadi intipati utama restoran yang dibuka awal bulan lalu, hidangan makanannya tidak kurang hebatnya.
O’naturel menawarkan menu hidangan bistro Perancis mewah seperti udang galah, foie gras dan siput dengan sos krim pelepah pada harga 49 euro (RM236) untuk 3 hidangan.

Restoran bogel pertama seumpamanya di Paris antara restoran konsep yang sedang dibuka secara meluas seluruh dunia seperti di kota London, ke Melbourne dan Tokyo.
Para pelanggan juga disediakan dengan selipar dan wanita yang merupakan 40% daripada pelanggan restoran dibenarkan berkasut tumit tinggi.
Pelapik kerusi hitam ditukar selepas setiap sesi pelanggan berakhir.
“Peranan kami adalah untuk meletakkan setiap pelanggan dalam persekitaran selesa,” kata Stephane.
“Sebaik sahaja memasuki ruang makan, kami menemani mereka ke meja sekaligus menjamin mereka tidak akan berdepan situasi di mana semua orang memandang mereka ketika masuk,” tambahnya.
Satu-satunya kain yang terdapat di ruang itu ialah kain meja, tuala lap mulut dan 2 pengurus yang juga pelayan berpakaian.
Berdasarkan undang-undang, Saada menegaskan pengurus atau pelayan perlu berpakaian, berbeza dengan restoran bogel di London, The Bunyadi yang dibuka pada tahun lalu, di mana kakitangannya juga tidak berpakaian.
Restoran ini bagaimanapun hanya dibuka untuk makan malam dengan tempahan sahaja.
Stephane berkata pihaknya tidak mahu mempelawa pelanggan yang salah, jadi mereka bertegas dengan menhalang pelanggan yang hadir dengan niat berbeza.
Mike juga menerangkan, “Bogel tidak bermakna seksualiti.”