
Biasanya apabila kalendar menunjukkan hujung minggu yang panjang, Sabtu, Ahad dan diikuti cuti umum pada Isnin memang awal-awal lagi sudah merancang untuk berehat.Tidur sepuasnya, makan, menonton filem di televisyen sambil melabuhkan punggung di atas sofa empuk, sekali-sekala mengemas rumah, itu rutin “rehat” yang dimaksudkan.
Tetapi minggu lalu saya berubah fikiran untuk mencabar diri sendiri bebaskan diri dari rutin “standard”. Pagi Sabtu, saya bersama seorang rakan, Dhatch, memandu ke sebuah resort di kaki Bukit Broga.
Di sana kami ditemukan dengan lebih 30 lagi rakan sekelas senaman yoga dari Shakti School of Yoga, Kajang.

Sebenarnya ini kali pertama saya mengikuti sesi “re-treat” walaupun sudah beberapa tahun mengamal ilmu yoga.
Walaupun sampai di resort tersebut lewat tengah hari, kira-kira pukul 3 petang, tetapi sepanjang hari tersebut dimanfaatkan sebaiknya oleh Master yoga kami, SK Durai dan K Anuradha. Lebih-lebih lagi apabila resort kami tidak mempunyai hubungan telekomunikasi yang baik.
Kasih sayang, kebaikan dan belas kasihan jadi intipati
Sesi bermula dengan “ice-breaking” atau suai kenal dan beberapa sesi permainan santai yang bukan sahaja membabitkan kecergasan tubuh tetapi kecerdasan otak. “Seperti kembali ke zaman kanak-kanak!”

“Ia akan memudahkan anda bersikap sama dengan semua orang di luar sana,” kata Durai.
Justeru tidak hairanlah semua aktiviti termasuk permainan yang disediakan disudahi dengan mesej mendalam dan berkesan.
Sejurus selepas itu, semua peserta berkumpul untuk sesi yoga ashtanga, senam yoga bernada dituruti pernafasan selama hampir sejam sebelum kami “dirawat” dengan sesi mandian herba untuk membangkit aura positif.
“Ini adalah akar ginseng, bunga kekwa dan melur, serbuk cendana dan kunyit, air mawar serta limau purut. Semua bahan ini dibawa khas untuk sesi mandi ‘herba’ bagi penyucian aura,” terang Anuradha menunjukkan satu persatu bahan yang dibawa.
Kami juga diberi penerangan di sebalik setiap bahan yang digunakan dan cara mengendalikan mandian tersebut. Kelihatan mudah dan praktikal, malah kami dinasihatkan mengamalkannya sekerap yang mungkin bagi mengekalkan elemen positif. Maklumlah, bahan-bahannya mudah diperolehi dan berkait dengan alam semulajadi!
Semuanya berjalan lancar dan dalam pesekitaran yang aman, dikelilingi suasana angin bayu yang sesekali kencang, sesekali tenang.
Sesi makan malam melibatkan menu vegetarian dan kami dibenar berehat sebelum memulakan aktiviti seterusnya yang dinamakan “mindfullness” (kesedaran pada status fikiran dan emosi pada waktu semasa) dan “star gazing” (tatapan bintang).
Rawat diri sewaktu “me time”
Menariknya mengenai kedua-dua aktiviti ini ialah, kami tidak dibenar bercakap sepatah kata pun sebaliknya meluangkan masa tersendiri dengan alam sekitar. Sepanjang sejam aktiviti tersebut, ia seperti “rawatan” dalaman yang menyedarkan kewujudan kita dan kaitan dengan alam.
“Ini adalah masa untuk anda menyelami diri sendiri dengan berhubung pada alam. Ia juga dikenali sebagai “me-time” di mana masa diluangkan tanpa membuat apa-apa, alternatif mengurangkan tekanan dan membekalkan tenaga,” kata Durai.
Mungkin sukar untuk dihuraikan tetapi kami berjaya meluahkan perasaan sewaktu sesi perkongsian yang dilakukan lewat malam sebelum waktu tidur.
Bagi sesetengah peserta, setiap detik dinikmati, daripada angin bayu malam, bau pokok, bunyi cengkerik, gemerlapan bintang, awan yang gelap serta suasana sekitar yang tenang.
Bagi yang lain, seluruh sesi tersebut membawa mereka ke zaman kanak-kanak di kampung halaman atau kenangan bersama ahli keluarga dan tidak ketinggalan bagi mereka yang mengakui ia satu pengalaman baharu, unik dan tidak pernah dirasai.
“Saya tak pernah perasan kewujudan ini. Ia sesuatu yang baharu. Tetapi pengalaman ini mengajar saya betapa pentingnya saya awasi sekeliling, termasuk bintang dan bulan, tumbuh-tumbuhan dan serangga, angin dan kesejukan,” kata peserta bernama Geetha.

Kebanyakan kami hanya dapat melelapkan mata agak lewat malam, sekitar 12 tengah malam. Terlalu banyak kisah yang dibawa ke perhatian, kebanyakan berpusat kepada matlamat asal iaitu berkongsi kasih sayang, kebaikan dan belas kasihan.
Kesempurnaan capai puncak Broga
Pada keesokannya, hari bermula seawal 5 pagi lagi. Senaman ashtanga bersama pengamal yoga memberi semangat yang benar-benar berbeza. Apatah lagi dikelilingi keindahan flora dan kesegaran kabus pagi.
Tamat sesi ashtanga, kami bergerak ke kaki bukit Broga sekitar pukul 6.30 pagi untuk menawan perhentian pertama yang berketinggian sekitar 268.2 meter.
Sepanjang perjalanan kami cuba mengadaptasi ilmu yoga termasuk mengawal pernafasan (pranayama) dan membawa kesedaran terhadap persekitaran (mindfulness).
Bukan mudah, namun semua 30 peserta “yoga-retreat” yang terdiri daripada pengamal yoga wanita kecuali master dan seorang pembantu lelakinya, Kugan, berjaya capai puncak pertama.
Agak lama juga kami menikmati sinaran matahari pagi yang segar, ia ternyata memberi impak positif kepada badan, minda dan jiwa.

Walaupun singkat, kami melalui setiap detik dengan penuh keterujaan di samping memanfaatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang diuruskan. Menanti untuk “yoga-retreat” seterusnya untuk tempoh yang lebih panjang dan aktiviti yang lebih teliti serta bermanfaat.
Gambar: Kredit Shakti School of Yoga (SSOY)