
Selaku wanita berpengaruh dan berkuasa di dunia, Ratu Elizabeth II mampu memilih segala jenis makanan untuk dinikmatinya. Namun, itu bukan pilihan beliau sebaliknya Ratu Elizabeth dilapor mengambil sarapan pagi yang paling simple dan biasa, seperti kita semua.Menurut bekas chef kerajaan Inggeris, Darren McGrady, Ratu Elizabeth hanya memakan bijirin Kellogg (bijirin buatan Amerika Syarikat) yang disimpan dalam bekas plastik dan teh Darjeeling yang merupakan teh terbaik dari India.
Majalah Marie Claire juga memetik, Ratu Elizabeth turut mengamalkan 9 jenis pantang larang pemakanan.
“Salah satunya ialah bawang putih. Beliau tidak suka bau mahupun rasa bawang putih,” kata McGrady.
Chef yang berkhidmat di dapur istana Buckingham turut mendedahkan bijirin Kellogg dimakan bersama susu yang dituang sendiri olehnya tanpa bergantung kepada sesiapa, membuktikan simplisiti wanita berstatus permaisuri ini.
“Jelas cara bersarapan beliau lebih kurang pelajar kolej,” petik majalah Vanity Fair.
Kehidupan dan cara pemakanan yang simple keluarga diraja Britain ini sudah beberapa kali menjadi tajuk akhbar dan rencana.
Pernah sekali ketika zaman Puteri Diana, beliau mengarahkan tukang masak istananya berehat kerana mahu keluar membawa anaknya Harry dan William ke McDonalds.
Dalam pada itu, majalah People memetik kehidupan berhemah Permaisuri Elizabeth yang hanya menggunakan penggilat kuku sama warna yang murah di samping menggunakan ruang pemanas (space heater) di istana selain memakai semula pakaiannya tanpa sebarang masalah.
Bagaimanapaun ia tidaklah bermakna beliau tidak hidup mewah, McGrady mengatakan Elizabeth amat meminati telur hancur dengan salmon salai dan truffle cendawan, hidangan unik khas diraja.
“Tetapi ratu hanya menikmatinya pada Krismas apabila truffle dihantar sebagai hadiah sambutan perayaan itu,” katanya.
Ratu juga meminati coklat gelap tidak kira sama ada dari jenama mewah mahupun sekadar dibeli dari kedai runcit biasa.
Selain coklat gelap, biskut dan kek coklat juga termasuk dalam makanan kegemaran beliau. Tidak ketinggalan mousse coklat, kek span ganache coklat.