
Kerana tatu di mata tidak menjadi, seorang model berkemungkinan hilang penglihatan sebelah mata untuk selamanya.Model dari Kanada, Caitlin Gallinger, 24 mengenakan tatu pada biji mata putihnya September lalu oleh bekas teman lelaki dan mendapati ia mendatangkan masalah tidak dijangka.
Caitlin kini tiada pilihan lain tetapi membuang biji mata kanannya itu dan bersedia menerima kecacatan kekal, buta sebelah mata.
Menurut laporan Daily Mail, teman lelakinya yang juga seorang artis tatu mendesak mahu membuat tatu mata padanya.
Namun, dia dipercayai tidak mencairkan dakwat secukupnya serta menggunakan terlalu banyak dakwat ketika membuat tatu tersebut.
Akibatnya, mata Caitlin bukan sahaja sakit, malah mula merembeskan dakwat ungu daripada mata selepas sesi tatu tersebut.
Model itu berkongsi perjalanan buruknya di Facebook, turut menasihati semua orang yang mahu membuat tatu mata supaya lebih berhati-hati dan berfikir 2 kali.
Untuk beberapa minggu, mata kananya membengkak dan selepas 3 kali rawatan di hospital, ia masih tidak menunjukkan sebarang penyembuhan, malah dia mengadu langsung tidak dapat membuka matanya kecuali secara paksa.
“Saya selalu jujur dan akan terus jujur. Tiada lagi harapan. Saya sudah hampir memutuskan untuk membuang biji mata ini, saya sudah tidak tahan,” katanya petik portal itu.
Caitlin sememangnya seorang penggemar tatu dan mempunyai puluhan tatu pada tubuhnya, termasuk pernah melalui prosedur membelah lidah agar kelihatan seperti garpu.
“Ramai rakan-rakan saya yang membuat tatu mata dan saya tertarik dengannya. Tidak sangka boleh membawa padah,” katanya.
Pakar mata memberi amaran terhadap amalan tatu mata yang boleh merisikokan penglihatan.
Amalan yang mula popular sejak sedekad yang lalu dikatakan boleh membawa kesan jangka pendek atau lama pada penglihatan, menurut laporan American Journal of Ophthalmology pada April lepas.