
Tanggungjawab dan nilai kemanusiaan mengundang rangkaian gedung tekstil terbesar negara, Jakel untuk menganjurkan Jakel Charity Run for Rohingya Kuala Lumpur 2017.Larian amal tersebut merupakan inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jakel, di samping langkah pro aktif dalam proses transformasi ke arah melahirkan serta menerapkan amalan dan gaya hidup sihat selari hasrat kerajaan melahirkan rakyat Malaysia lebih produktif.
Sebagai syarikat tekstil sulung yang menganjurkan larian ini, Jakel bukan sahaja mahu peka dengan nilai komersial jualan tetapi nilai kemanusiaan khususnya sesama insan yang sedang berdepan ancaman.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed, pihaknya sedar akan keganasan dan penindasan dialami oleh etnik Rohingya sehingga menyebabkan golongan ini menderita kesengsaraan.
Ia termasuk kehilangan tempat berteduh dan kekurangan sumber makanan akibat kepincangan dan serangan dialami mereka.

“Oleh itu Jakel terpanggil membuka kesedaran masyarakat dengan mengadakan misi bantuan kemanusiaan ini bagi mengurangkan bebanan dan penderitaan dialami oleh etnik Rohingya,” kata beliau.
Sehubungan itu, Jakel mengambil inisiatif menganjurkan Jakel Charity Run For Rohingya Kuala Lumpur 2017 pada 10 Disember 2017 di Jakel Mall Kuala Lumpur.
Hasil bayaran pendaftaran akan disalurkan 100% sepenuhnya kepada mangsa pelarian masyarakat Rohingya, janji Faroz.
Tambah Faroz lagi, selain kutipan pembayaran pendaftaran penyertaan daripada peserta larian, sumbangan daripada Jakel Trading Sdn Bhd beserta para penaja berjumlah RM700,000 juga akan diberikan sepenuhnya secara terus kepada mangsa pelarian masyarakat Rohingya di Bangladesh.
“Sumbangan tersebut akan dibawa dan dihantar sendiri oleh pihak pengurusan tertinggi Jakel kepada masyarakat Rohingya di Bangladesh,” ujar beliau.
Peserta yang ingin menyertai larian ini boleh mendaftar secara talian (online) menerusi laman web www.racexasia.com yang mana pendaftarannya dibuka 25 Oktober 2017 sehingga 3 Disember 2017.
Selain pendaftaran atas talian, pihak penganjur juga menyediakan perkhidmatan pendaftaran luar talian iaitu berdaftar secara manual di kaunter pendaftaran yang dibuka di hadapan pintu masuk Jakel Mall KL.
Keistimewaan turut diberikan kepada 1000 peserta terawal yang berdaftar seperti kadar harga diskaun penyertaan dan cenderahati sebagai tanda penghargaan menyertai penganjuran aktiviti larian ini.
Jakel Charity Run for Rohingya Kuala Lumpur 2017 terbahagi kepada larian 10km Terbuka Lelaki & Terbuka Wanita serta 5km berkonsepkan “Fun Run” dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Larian 10km berkonsepkan pertandingan dibuka kepada yang berumur 16 tahun ke atas dengan bayaran serendah RM60 seorang.
Larian 10KM akan bermula dan berakhir di Jakel Mall membawa kesemua peserta merentas laluan utama di bandaraya Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, larian 5km berkonsep Fun Run membolehkan peserta membawa seisi keluarga menyertainya sambil beriadah dan bersantai melalui jalan-jalan utama di Kuala Lumpur.
Bayaran sebanyak RM55 seorang dikenakan bagi kategori ini.
Peserta larian Jakel Charity Run For Rohingya Kuala Lumpur 2017 akan menerima barangan “Race Pack” berbentuk sebuah bag dilengkapi T-shirt, botol air, nombor bib, baucar makanan, tuala muka (1000 penyertaan terawal) dan lain-lain. Pemberian medal dan topi akan diserahkan di garisan penamat sejurus peserta melengkapkan larian masing-masing.
Bukan itu sahaja, larian ini turut menawarkan hadiah lumayan dengan nilai keseluruhan melebihi RM250,000 termasuh hadiah wang tunai dan hadiah penajaan.
Pemenang kategori 10km akan membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000 untuk hadiah tempat pertama, RM3,000 untuk hadiah tempat ked-2, dan hadiah tempat ke-3 adalah RM2,000.
Pemenang tempat ke-4 dan ke-5 pula bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500 dan RM1,000. Manakala pemenang tempat ke-6 sehingga tempat ke-10 masing-masing bakal menerima hadiah wang tunai bernilai RM800 setiap seorang.
Hadiah saguhati turut diberikan kepada 50 orang pemenang (25 orang pemenang peserta lelaki dan 25 orang pemenang peserta perempuan) berupa seutas jam tangan berjenama Ice Watch bernilai RM369.

Peserta Fun Run kategori 5km juga tidak diabaikan, malah berpeluang membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000 untuk hadiah tempat pertama, RM2,000 untuk tempat ke-2, dan pemenang hadiah tempat ke-3 adalah RM1,000.
Pemenang tempat ke-4 sehingga tempat ke-10 masing-masing bakal menerima hadiah wang tunai bernilai RM500 setiap seorang. Hadiah saguhati turut diberikan kepada 50 orang pemenang (25 orang pemenang peserta lelaki dan 25 orang pemenang peserta perempuan) berupa seutas jam tangan berjenama Ice Watch bernilai RM369.
Hadiah cabutan bertuah berbentuk sebuah motosikal, kasut sukan berjenama Asics, jam tangan berjenama Ice Watch, hamper barangan tajaan daripada para penaja Jakel Charity Run For Rohingya Kuala Lumpur 2017 juga menanti peserta.
Jakel Charity Run For Rohingya Kuala Lumpur 2017 diseliakan oleh The Equip Management dan ditanggung sepenuhnya oleh Jakel.
Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai acara besar ini, para peserta diminta mengikuti media sosial instagram Jakel di @jakeltextile dan juga Facebook @GedungTekstilJakel.